Thursday, April 14, 2011

INDAHNYA MUSIM BANJIR

SUATU KETIKA DAHULU aku menganggap musim banjir tidak ubah seperti acara tahunan yang didatangkan khas sekali dalam setahun. Dan bila banjir tiba, ia diibaratkan seperti waktu untuk berpesta. Masing-masing datang ke lokasi-lokasi banjir untuk bermain air. Maklumlah, bagi kami sekampong, pantai adalah terlalu jauh dari jangkauan. Jadi, banjir adalah opsyen untuk orang-orang kampong yang duduk di hulu seperti aku. Ombak dan laut merupakan suatu igauan. Dan, terpaksa berbelanja besar untuk ke sana. Demikianlah kisah "orang darat" dan "orang baruh" atau "orang laut". 

ITU ADALAH PEMIKIRANKU sewaktu kecik. Kisah orang hanyut, mati lemas atau rumah tenggelam tidak berapa kedengaran pada ketika itu. Maklumlah, media massa dizaman itu adalah terlalu mundur. Di rumah, kadangkala ada radio. Kadangkala tidak. Kadang-kadang langsung tak dapat siaran. Menonton TV jauh sekali. Sebab, hanya "orang kaya" sahaja yang mampu membeli TV. Suratkabar? Jarang membacanya lantaran jarang dibeli ayah. Jadi, kalau ada kampong atau bandar yang tenggelam, itu kami tidak tahu. Kecuali kalau banjir berlaku didepan mata. Dan, itu boleh dikatakan agak kerap terjadi.

Bercakap soal banjir, banjir di bandar dan di kampong memiliki dimensi yang agak berbeza. Itu menurut apa yang aku lihat pada ketika itu. Sepanjang bersekolah rendah di Segamat, memang ada beberapa kejadian besar yang aku lihat dengan matakepala sendiri. Sewaktu di darjah 2, hujan lebat di hulu telah menyebabkan petempatan Jalan Hassan dan kawasan tapak hospital besar Segamat (yang asal) ditenggelami air. Jambatan keretapi yang merentangi Sungai Segamat juga hampir tenggelam. Banjir besar itu menjadi bahan bualan kami di sekolah. Aku tak sempat bermain banjir kerana airnya terlalu kotor. Terdapat kandang ternakan babi di hulu sungai itu (ini memang dalam pengetahuan aku sebab aku agak rajin meranduk ke hulu sungai untuk memancing ikan). Walaupun masih kecil, tapi aku sudah kenal erti najis mughalazah.

Sewaktu di darjah 5, sekali lagi banjir besar melanda. Kali ini aku tinggal di Kampong Tasek. Masih tergambar jelas bila suatu pagi Paksu Wahid mengajak aku melihat banjir. Keseluruhan kawasan sawah di kampong itu seperti bertukar menjadi lautan dengan air yang berwarna lumpur. Untuk beberapa hari aku tidak ke sekolah kerana jalan kampong ditutup. Sebagai opsyen, kami pergi bermain air. Sempat juga berenang ke Batu 5, tempat Makngah Salmah tinggal. Memang ganjil kehidupan waktu itu. Air banjir jadi tempat berlibur dan berlipur?

Memandangkan banjir masih "tinggi", Atuk Ahee tidak menoreh getah. Tapi, usaha untuk mencari duit perlu berjalan terus. Jika tidak, pasti ada yang kebuluran. Jadi, beliau (ditemani Pakcik Haris) telah manjalankan aktiviti memasang lukah di kawasan sawah yang masih tenggelam. Terkadang mereka terpaksa berkayuh (perahu) ke hulu hingga melepasi Tanjung Sengkawang dan Kampong Gudang Garam. Memang amat jauh! Tetapi, adat hidup di kampong dan menjalankan "kerja kampong", Atuk tiada banyak pilihan. Keluar pagi, nanti sebelum zohor baru balik. Mereka melukah ikan "keli limbat".





Menurut Atuk, keli jenis ini berkualiti tinggi. Ia jenis liar dan jarang ditemui. Cuma hidup di hulu sungai. Warnanya hitam kekuningan dan agak berbintik. Rupanya memang agak signifikan dan berbeza dari keli biasa (aku tidak pasti samaada spesis ini masih wujud lagi atau sudah pupus sekarang). Sebelum asar, apek Cina si peraih ikan akan muncul untuk memborong ikan-ikan tersebut. Biasanya Atuk akan "menolak" (disini maksudnya memborong) dengan harga yang sesuai. Beliau jarang memborong sesuatu (samaada ikan, ayam atau durian) dengan harga yang "mencekik darah".

Sementara di Batu 5, Sungai Batang Lesung yang berdekatan dengan rumah Makngah Salmah menjanjikan kelainan. Bila air surut, dasar sungai itu (yang berlumpur) akan menjadi sarang bagi siput gondang (spesis siput besar), lokan dan kijing (berbentuk seperti kupang). Keadaan seperti itu tidak kekal lama. Jadi pada cuti minggu kami akan meranduk ke sungai itu untuk menambah rezeki yang secupak. Dapatlah juga dijadikan santapan untuk 2-3 hari. Hidup di kampong tidak perlu ke pasar kalau rajin berusaha! Di hutan ada pucuk, di air ada ikan, di pokok ada buah. Dan, di tanah ada ubi, keledek dan keladi.

Ketika di darjah 6, sekali lagi banjir besar melanda. Kali ini aku tinggal di Kampong Batu Badak. Air Sungai Segamat melimpahi sepanjang jalanraya yang merentasi kampong itu hinggakan gambarannya seakan-akan apa yang aku lihat di Kampong Tasek pada tahun terdahulu. Oleh kerana airnya dalam (dan arusnya juga agak laju), Atuk Teh tak benarkan aku merayau di kawasan banjir. Atuk Teh memang "ketat" dalam soal keselamatan. Memandangkan aku tak gemar dileteri, jadi aku patuhi kehendaknya. Bila air mulai surut, barulah aku mencuri-curi pergi memancing.

Air banjir kali ini dikabarkan telah melimpahi lebihi dari biasa. Selain jalanraya terpaksa ditutup di pelbagai lokasi, perhubungan ke Buloh Kasap dan utara juga terputus. Demikian juga perhubungan ke selatan tanahair. Jalan keretapi juga terjejas. Apabila air surut dan keadaan pulih seperti sediakala barulah aku tahu bahawa jalan-jalan ke kawasan Lubuk Batu, Tanjung Sengkawang, Kampong Berata dan Kampong Gudang Garam juga terjejas teruk. Kesan-kesan lumpur banjir masih boleh dilihat di sepanjang kiri-kanan jalanraya menuju ke Segamat terutamanya di kawasan-kawasan yang agak rendah. Namun begitu, yang pasti, tidak pula aku terdengar kisah orang mati akibat banjir!

Tetapi hari ini keadaan jauh berbeza berbanding dahulu. Hutan belukar sudah banyak yang bertukar menjadi kawasan perumahan, perkilangan dan macam-macam lagi. Urbanisasi telah mengubah ekosistem dan lanskap kawasan-kawasan ini yang menjanjikan banjir kilat dan banjir-banjir besar yang mengerikan. Aku tak dapat bayangkan bila abangku Razak menceritakan kemusnahan-kemusnahan yang berlaku akibat banjir di sepanjang dekad pertama milenium ini. Jambatan Sungai Segamat tenggelam sepenuhnya. Jalan keretapi terjejas habis dan perlu dibaiki. Bangunan-bangunan dan petempatan-petempatan di sepanjang Sungai Segamat tenggelam. Kampong Jawa, sebahagian FELDA Kemelah, Kampong Jalan Pemuda dan banyak lagi petempatan-petempatan lain turut ditenggelamkan. Banyak harta awam musnah. Nyawa pun ada yang melayang.

Ini tidak berlaku sewaktu aku masih bersekolah dulu. Senario banjir hari ini (samaada banjir kilat atau banjir besar) lazimnya berpotensi untuk berakhir dengan cerita trajis dan traumatik. Sebagai contoh mudah, banjir kilat di bandar Kelang masih termaktub jelas dalam kenangan. Kereta aku hampir dibenamkan oleh air hujan yang melimpah akibat longkang tersumbat (agaknya). Mujurlah aku cepat bertindak. Dan, selepas itu akupun berkata: Lain kali jangan "gatal-gatal" datang ke bandar Kelang! Tapi, apa kurangnya Kuala Lumpur? Atau Penang? Atau Johor Bharu? Atau Ipoh? Banjir hari ini sudah tidak mengenal waktu mahupun tempat!

Jadi, bagaimana boleh dikatakan musim banjir merupakan musim yang indah? Aku pernah beberapa kali berkesempatan berada di kampong sendiri sewaktu banjir melanda. Waktu itu kami (masyarakat setempat) tidak menggunakan istilah "banjir". Sebaliknya kami gunakan istilah "air naik" (maksudnya air sungai dekat rumah kami sudah melebihi paras selamat dan melimpah sampai ke tebing dan melanda kawasan-kawasan lain) atau "air bah". "Banjir" adalah istilah baru. Malahan bidalan dahulukala juga menggunakan perkataan "bah", bukan "banjir": Sekali air bah, sekali pantai berubah.. Pun begitu, maknanya tetap sama. Mungkin istilah "bah" sudah ketinggalan zaman berbanding "banjir" (agaknya).

Berbalik kepada pengalaman menghadapi "bah" di kampong sendiri. Ianya suatu suasana yang cukup berbeza. Mana tidaknya, isu utama kami (pada ketika itu) ialah isu buaya yang mudik ke hulu sewaktu musim banjir. Ini perkara sensitif. Tiada siapa pun yang sudi ditelan buaya. Tetapi, kisah ini akan menjadi "top" bila banjir tiba. Pun begitu, "berita ngeri" ini belum cukup untuk menghindarkan kami dari menjadi "buaya tanpa kaki dua tanpa ekor" dalam air banjir berkenaan.

Mungkin seronok untuk dikongsikan berhubung musim banjir sewaktu di kampong dahulu. Rumah ayah akan menjadi "stor khas" penyimpanan stok makanan catuan bagi mangsa banjir di kampong kami. Yang masih aku ingati: catuan berbentuk susu tin, gula (dalam karung), tepong, beras. Biasanya pihak kerajaan akan menghantar lori catuan ke rumah kami dan ayah akan mengagih-agihkan catuan tersebut kepada mangsa-mangsa terbabit. Lazimnya ada banyak lebihan (setelah agihan dilaksanakan). Itulah yang paling menyeronokkan! Untuk seminggu-dua, kami tidak perlu untuk memikirkan tentang bahan-bahan asas tersebut...!

Hari ini kabaran mengenai banjir menjanjikan kengerian dan kepiluan. Dan, tidak mengikut musim. Paling tidak, tentu ada "wakil" (yang terdiri dari lembu, kambing dan ayam) yang bakal dihanyutkan air. Bagi sesetengah kawasan perumahan (yang dibina di kawasan-kawasan rendah, bekas-bekas bendang padi, berdekatan sungai atau paya), banjir adalah fenomena yang ditanggung sepanjang hayat. Lantaran itu, berhati-hatilah jika membeli/membina rumah. Jangan sampai kita menyesal seumur hidup. 

Hari ini musim banjir tidak lagi seindah waktu kecilku dulu. Segala-galanya terlalu jauh berbeza. Tiada sebarang kecantikan disebalik banjir-banjir kilat, banjir besar atau tempias tsunami yang datang melanda. Semuanya itu menjanjikan kemusnahan yang tidak tercatatkan. Ayah dan ibu pun sudah lama tiada. Rumah ayah yang asal dahulu (yang menjadi fokus kehidupan kami adik-beradik) pun sudah lama ranap. Yang tinggal hanyalah cebisan kenang-kenangan yang semakin hari semakin pudar dari ingatanku. Ia akan lenyap sepenuhnya jika tidak dicatat dimana-mana. Ws.


Monday, February 21, 2011

IKAN KERING BAKAR

SEKALI-SEKALA AKU TERINGAT kisah sewaktu masih bersekolah dahulu. Kisah sarapan ubi rebus cicah sambal belacan atau lawan ikan kering cekik leher. Atau lempeng lawan kuah semalam. Atau nasi sejuk lawan gula pasir. Atau tidak bersarapan langsung. Itu adalah asam-garam kehidupan kami adik-beradik sewaktu bersekolah dan sebelum mendapat pekerjaan tetap.

Hari ini kenangan itu menjadi satu nostalgia. Hanya bisa dibongkar apabila kami adik-beradik sekali-sekala bertemu dan berkumpul. Maka bermulalah hikayat-hikayat lama. Sedang anak-anak masing akan termangu-mangu samaada mahu percaya ataupun tidak. Siapa mahu percaya kalau bapak-bapak mereka dahulunya pernah hidup bagai orang melarat? Mereka mungkin tidak betah mendengar. Apatahlagi untuk menghadamnya kedalam sanubari masing-masing. Lantaran mereka lahir ketika kehidupan kami sudah banyak berubah dan lebih selesa berbanding dahulu.

IKAN KERING BAKAR memang sedap. Jauh lebih enak dari ikan kering yang digoreng. Hingga hari ini aku masih berpegang pada pendapat itu. Itulah antara makanan-makanan kegemaran ibu dan ayahku dulu. Selera orang kampong yang hidup dalam serba kekurangan dan serba ringkas. Dan selera seperti itu tumpah kepadaku sehingga kini. Lantaran itu aku cukup cerewet dalam soal ikan kering. Aku juga cukup memilih apabila membeli ikan kering. Tidak mahu yang keterlaluan. Dan aku juga tidak percaya kepada harga yang melampaui batas. Aku pilih ikan kering makanan golongan marhaen!

Kalau sewaktu rumah kami (rumah ayah) menggunakan dapur kayu, membakar ikan kering adalah suatu pekerjaan yang teramat mudah. Cempak saja ikan ke api. Atau selitkan dicelah-celah unggun kayu. Sebentar lagi akan tersebarlah bau wangi (atau hangit?) petanda ikan kering sudah siap untuk dihidangkan. Terlalu mudah, bukan? Ada kalanya ikan kering terbakar hangus dek terlalu lama dibakar. Namun itu bukan bermakna kami tidak akan membahamnya hingga tidak bersisa!

Hari ini aku menyuruh isteri membakar ikan kering dalam kuali leper (tentunya tanpa minyak!). Tetapi bila lama "tidak dikhutbahkan", beliau akan terlupa. Maka terpaksalah sekali-sekala aku memberi "khutbah". Apa salahnya, bukan? Sekadar berpesan-pesan... Lagipun aku pernah memberi "crash course" bagaimana kalau mahu menyiapkan hidangan ikan kering dengan cara paling mudah tetapi "berkesan"(?) Barangkali beliau sudah terlupa kaedahnya. Perlukan "refresher course" barulah boleh ingat semula. "Refresher course" diberi dalam bentuk "khutbah ringkas".....

Kini jarang benar aku berpeluang untuk menjamah "ikan kering bakar" jika makan dirumah-rumah jiran apatah lagi di gerai-gerai umum. Mungkin tradisi ini sudah terpinggir dari pemikiran masyarakat Melayu kontemporari. Kita tidak seperti bangsa Jepun dan Korea yang masih mengekalkan tradisi makan "sushi" atau "kimchi". Bangsa kita sudah terlalu taksub dengan tradisi-tradisi luaran. Hinggakan kita lupa untuk memartabatkan tradisi kita sendiri. Ramai orang sudah tidak tahu membuat kuih-muih atau masakan-masakan tradisional. Jika dibuat pun, ia tidak ubah seperti melepaskan batuk di tangga dan tidak begitu menjadi. Berkesudahan dengan membeli di kedai atau membuat tempahan pada pengusaha-pengusaha yang menghasilkannya secara "mess production" (untuk dikomersialkan di pasaran luar dan dalam). Ini tidak menghairankan. Namun, bagiku, ia cukup mengecewakan.

Nostalgia ketika di kampong dahulu amat mengesankan diriku. Sekali-sekala aku rajin "menyelongkar kembali" kisah-kisah lama ini sebagai "sempadan" dan "teladan" buat diri sendiri dan sesiapa yang sudi mendengar serta memikirkan munafaatnya. Sebagai seorang insan yang sentiasa hidup berjauhan dari kaum keluarga dan sanak-saudara, aku tiada banyak pilihan. Ingin benar aku bertemu mereka sekerap mungkin, tapi aku tidak mampu. Jarak, ruang dan waktu memisahkan kami terlalu jauh. Bebanan serta tekanan kehidupan adalah pelengkap pada segalanya ini. Maka, pilihanku hanya satu - membongkar serta meniti kembali kisah-kisah dahulu - tiap-tiap hari sebelum mata ini akulelapkan.

Ikan kering bakar
" akan merapatkan jurang fizikal antara aku dengan arwah orangtua dan adik-beradikku. Dan, "Ikan kering bakar" akan memperkukuhkan ingatan suci serta cintaku yang tidak pernah putus kepada mereka semua...!

Wednesday, January 5, 2011

WAHAI SURATKABAR SEKALIAN....!!

Entahlah. Apalah celakanya nasib suratkabar-suratkabar hari ini. Semakin hari semakin lesu. Intinya semakin basi. Bukan sekadar basi. Malah beracun. Racun paling berbisa. Bisa yang mampu memusnahkan kerafaqan umat. Boleh menggegarkan tiang seri kuasa ketuanan Melayu. Boleh merobohkan bumbung yang selama ini menaungi keharmonian bangsa dan masyarakat majmuk yang semakin majmuk di negara ini.

Aku betul-betul sangsi. Kredibiliti akbar-akbar sebagai sumber berita utama yang bersih, amanah dan telus sudah tercabut dari tunjangnya. Semakin tunduk merundum mengikut telunjuk bos-bos yang bersekongkol dengan broker-broker politik. Broker-broker yang semakin ketandusan modal untuk berpolitik. Dan, suratkabar-suratkabar dijadikan "tandas" untuk melepaskan segala "najis-najis" dan toksid yang berserat dalam hati dan jantung masing-masing. Hatta, siapakah mangsanya? Sudah tentu orangramai yang tekun "memutlaah" surat-suratkabar ini. Bagaikan si yahudi tua yang khusyuk menguak lembaran-lembaran kitab talmud. Helaian demi helaian dibelek. Ditelek. Dikilas. Diulas. Dipulas. Hingga jadi berbelit-belit dan terbelitlah mindanya.

Aku bimbang. Dan akan terus bimbang. Takut-takut kalau manusia buta juga akan jadi celik matanya gara-gara diberikan suratkabar. Memang menguntungkan, jika benar demikian. Doktor-doktor pakar mata terpaksa gulung tikar kerana tiada lagi manusia buta. Tetapi hakikatnya ia tidak pernah ditakdirkan demikian. Apa yang mulai terjadi dan akan terus terjadi adalah sebaliknya. Manusia celik menjadi "buta" lantaran membaca suratkabar. Buta hati dan tuli jiwanya. Akibat terlalu banyak memakan "najis-najis" yang dilepaskan oleh broker-broker politik yang berkarat dan rosak akhlak.

Aku tidak tahu. Tapi aku perlu tahu. Kenapa dan mengapa ia jadi semakin teruk? Ibarat kudis pekung yang ditempekkan dengan najis. Sudah pastilah buruk padahnya. Bagaimana pekung mahu pulih kalau tuan doktornya sekadar pandai menajisinya saja? Hatta, ia akan mengembangbiakkan lagi kudis itu menjadi wabak dalam masyarakat.

Aku ingin bertanya. Bagaimana suratkabar mahu menjadi alat yang boleh membina minda positif dan progresif kalau saripati serta intipatinya bersarat dengan propaganda demi propaganda, pesimisme demi pesimisme, fitnah demi fitnah, pesona demi pesona, tohmahan demi tohmahan? Mana dia engkau letakkan ceritera-ceritera yang positif, proaktif, inovatif, progresif, yang baik-baik, yang cantik-cantik, yang indah-indah? Dimana?

Ada...? Tapi dimana kau sorokkan? Mengapa harus dikecil dan dipendekkan perkara yang baik-baik? Kenapa perlu diperbesar-besar dan diperpanjang-panjangkan perkara-perkara yang buruk-buruk, hodoh, hina dan merosakkan? Mengapa engkau terlalu menyeleweng, korup dan despotik? MENGAPA? Kenapa suratkabar kau jadikan alat untuk maksud-maksud peribadimu serta suku-sakat dan kerabatmu?

Jika demikian, terbitkanlah secara khusus untuk suku-sakat dan para pecacai disekeliling kamu itu sahaja. JANGAN cuba diperpanjangkan kepada masyarakat (walaupun kita mengamalkan dasar demokratik dan kapitalistik pasaran). Mereka jangan kau jadikan MANGSA. Mereka tak seharusnya sama-sama bersubahat menanggung dosa-dosa yang engkau hasilkan itu. Cuba fikir dalam-dalam. Sampai bila engkau harus menganiaya dan menodai jiwa orang-orang yang daif dan tidak berdosa?

Wahai suratkabar-suratkabar sekalian.. pulanglah ke pangkal jalan. Insaflah bahawa kita semua akan ke lubang kubur kesudahannya. Janganlah berlagak bahawa kita akan menongkat langit sepanjang zaman. Sedarilah bahawa malaikat maut pasti meragut nyawa setiap dari kita. Jadi, sebelum terlambat, berundurlah kembali ke landasan yang betul. Jangan dek kerana kegilaan yang sedikit kita (dan masyarakat ini) akan ditimpa bencana sepanjang hayat. Renungkanlah, wahai suratkabar-suratkabar sekalian..

Monday, January 3, 2011

MENGENALI ERTI KESUSASTERAAN

Itu cuma satu kebetulan.

Mulanya aku cuma tahu apa itu novel, cerpen (cerita pendek), puisi dan sajak pada kulitnya sahaja. Kebetulan abangku yang bernama Razak agak rajin membeli majalah Dewan Sastera (terbitan DBP). Memandangkan rumah kami jauh dari pekan (dan bahan-bahan bacaan masih terlalu terhad di rumah) dan duit selalu tidak cukup, jadi aku sekadar tumpang membaca apa yang dia beli. Waktu itu dia di tingkatan 4 (aliran Sastera) dan aku masih di Form 3. Sekali-sekala aku pun ada juga memesan teks-teks berharga murah di DBP dan Utusan Melayu Publication (bila cukup duit..). Minat membeli buku memang cukup mendalam ketika itu. Malangnya, mana ada duit?

Yang pasti, aku masih ingat tentang sebuah teks klasik yang selalu dicebet si abangku itu kehulu -kehilir. Teks "Merung Mahawangsa". Tapi aku tak pernah membaca teks itu kerana bahasanya yang terlalu klasik. Bila aku naik tingkatan 6 (Sastera), barulah aku sedar bahawa aku tak dapat lari dari membaca teks-teks serupa itu. Selama ini aku terbiasa dengan cerpen dan novel selepas perang (selepas perang bermaksud selepas Perang Dunia Kedua). Aku cuba elak jauh-jauh dari membaca teks sastera hasilan sebelum perang.

Aku sebenarnya telah mula membaca bahan-bahan sastera (selain artikel suratkabar) secara ekstensif seawal tingkatan 2. Tujuan asalku ialah untuk lulus BM bila ambil LCE dan MCE nanti. Tidak lebih dari itu. Waktu itu aku juga sedang "bertak-tih" membeli teks-teks sedemikian rupa. Selain terbitan DBP dan Utusan Melayu, sempat juga aku melanggan dari Pustaka Nasional, Pustaka Antara, PAP dan penerbitan-penerbitan Indonesia. Antara penulis-penulis yang menarik minatku ialah Hamka, A Samad Said, Shahnon Ahmad, Sutan Ali Shahbana, Keris Mas dan ramai lagi. Kebanyakan bahan-bahan ini terdiri dari novel dan cerpen. Puisi, Sajak dan bahan-bahan klasik aku elak jauh-jauh.

Bila berada di tingkatan 6 Atas (dan hanya beberapa bulan saja lagi akan menduduki HSC), barulah aku benar-benar serius. Hampir semua genre sastera kujenguk. Apa nak buat, dah terpaksa. Antara yang terbaru yang (perlu dikuasai) ialah Kritik Sastera. Entahlah. Aku rasa memang aku seorang pelajar yang pemalas bila tiba bab kritikan atau ulasan sastera dalam kelas. Berleret-leret. Meleweh-leweh. Menjejeh-jejeh. Menyampah! Menyebabkan aku cepat rimas dan lemas bila masuk kelas itu. Ini ditambah dengan guru-guru lepasan UM dan UKM yang hanya merujuk dan membacakan (semula) nota-nota mereka sewaktu di kampus dahulu (agaknya!) kepada kelas. Guru akan membaca notanya dari minit pertama hingga minit terakhir. Pelajar (termasuk aku) akan menulis apa yang dibaca guru. "...Ini kerja gila,.." kata aku dalam hati. Kelabu asap...! Macamana pelajar nak pandai?

Namun pada ketika yang sama citarasaku berubah kepada puisi dan sajak. Lantaran apa? Kerana, bukankah sajak dan puisi pendek-pendek belaka? Jadi, cepatlah aku habis membacanya. Aku boleh khatam satu antologi sajak dalam sekerat hari sahaja. Untuk antologi puisi klasik, mungkin dalam dua hari (lantaran bahasanya berlenggok-lenggok). Dalam kelas, aku memang "juara" interpretasi puisi. Sejak di tingkatan 6 Rendah aku (secara default) jadi "pakar rujuk" dalam bab menginterpretasi sajak dan puisi. Rakan-rakan akan meluru bertanyakan itu dan ini tentang sesuatu sajak sebaik sahaja guru memberi "assignment".

Aku seronok jadi "popular" sekejap. Lantaran "keistimewaan" kecil ini. Tapi mengapa genre puisi (padaku) jadi terlalu mudah? Ada rahsianya. Tidak ramai orang tahu. Aku memang sudah belajar mencipta puisi sejak di tingkatan 3 (walaupun cuma main-main). Tapi semua hasilan itu sekadar terperap dalam buku nota yang akhirnya lenyap entah kemana. Tak pernah terhantar kemana-mana kecuali dua - satu di majalah terbitan PAP dan satu lagi untuk kad hariraya di Sekolah Tinggi Segamat.

Pun begitu, hatta, untuk bab-bab puisi (klasik mahupun modern), jangan ada yang berhasrat nak kelentong aku... Mungkin (juga) pada hari ini perihal sastera Melayu pun tolong jangan kelentong. Walaupun sudah terlalu jarang membeli dan membaca karya-karya sastera, perkembangannya tidak pernah terlepas dari pemerhatianku. Hari ini aku akan melihat sastera dari pelbagai dimensi. Bukan sekadar dari kacamata seni semata-mata. Mungkin dari perspektif saintifik, pendidikan, geopolitik, lebih global - selaras dengan pengalaman hidup serta tahap kematanganku pada hari ini.

Pada 24 Disember tahun lalu aku sempat singgah di rumah abangku tadi (di Segamat Baru). Agak terkejut bila beliau mengeluarkan teks "Putera Gunong Tahan" (oleh Pak Sako) dan dua lagi teks iaitu "Sejarah Melayu" (oleh Tun Seri Lanang susunan Shellabear) dan "Salatus Salatin" (susunan A Samad Ahmad). Ini merupakan teks-teks lama bacaanku. Teks "Putera Gunong Tahan" kubeli waktu di tingkatan 3. Teks "Sejarah Melayu" itu pula memang jadi teks rujukan bagi subjek BM Kertas 2 (Kesusasteraan Melayu) untuk peperiksaan HSC. Masih ada lagi nota-nota kecilku dalam teks ini. Betapa aku kagum dengan semangat abangku itu. Walhal aku sendiri tidak pernah berusaha untuk menyimpan buku-buku lamaku sendiri.

Bila direnungkan kembali kisah lama (dan cuba dibandingkan dengan kisah yang baru), betapa jauhnya perjalanan hidup yang telah dilalui. Dulu aku cuma membaca bahan-bahan sastera (selain dari diselang-selikan dengan majalah-majalah separuh berat) yang mampu dibeli di pasaran. Tapi kini aku bukan lagi pembaca yang terhad. Hari ini aku harus membaca makalah, teks atau jurnal yang berat-berat. Mungkin lebih berat dari batu-batu jalanan. Kerana aku perlukan pengetahuan serta kemahiran-kemahiran baru pada melaksanakan tugas-tugas harianku. Aku juga menyimpan cita-cita besar untuk umatku. Hanyasenya, aku masih belum mampu melakukannya lantaran hambatan-hambatan yang belum berkesudahan.

Hari ini aku tidak pasti tentang sastera. Maksudku, halatujunya. Dulu Kesusasteraan Melayu menjadi subjek teras (kalau bukan wajib) di dalam SPM dan STPM. Sekarang ia cuma jadi subjek "tumpangan", kalau bukan picisan. Aku tidak pasti mengapa itu kesudahannya. Aku sebenarnya sedih. Kesusasteraan Melayu sebagai salah-satu dari cabang utama seni-budaya Melayu kini semakin terpinggir. Yang muncul bagai cendawan ialah karya-karya kontemporari yang masih gagal memberi kesinambungan peranan untuk mencetuskan kesedaran-kesedaran positif dalam masyarakat.

Dalam usaha pemerintah untuk mengembalikan kegemilangan Bahasa Melayu sebagai bahasa perdana negara ini (yang dikenali sebagai Bahasa Malaysia) aku masih belum jelas dimanakah letaknya kedudukan Kesuasateraan Melayu. Mungkinkah di persada pendidikan? Atau, sekadar menjadi bahan rujukan bagi penerbit-penerbit drama, teater atau persembahan-persembahan lain? Mungkin ada yang berteori bahawa Bahasa Melayu klasiklah yang menyebabkan orang-orang Melayu bersikap ortodok dan klasik. Bahasa Melayu yang kaya dengan sastera telah menyebabkan Melayu menjadi lembab, berleret-leret, banyak berlapek, terhegeh-hegeh. Orang-orang Melayu sukar belajar kerana bahasa mereka terlalu beruntai-untai, berpantun-pantun, sarat dengan perpatah, pertitih, bidalan. Tidak saintifik. Bagaimana mahu maju cepat?


Demikianlah Melayu. Kerana gagal menyalahkan benda lain, maka Bahasa Melayu dipersalahkan. Akibatnya, kesuasateraan Melayu turut menjadi mangsa keadaan. Diperlekehkan. Hari ini bila aku bertanya dengan budak-budak lulusan SPM dan STPM, majoriti tidak mengerti dengan sastera. Apatah lagi graduan-graduan terkini. Ada yang memperlihatkan wajah yang kabur bila ditanya soal kesuasteraan Melayu - suatu gambaran yang memperlihatkan betapa kaburnya masadepan kesusasteraan Melayu tempatan. Tapi bila ditanya tentang musik pop, rock dan hip-hop, mereka cepat memberi ulasan berserta dengan demonstrasinya sekali.

Begitu juga apabila ditanyakan tentang drama dan filem-filem Melayu dan hubungkaitnya dengan kesuasateraan Melayu. Dengan cergas dan "energetik" mereka memfokuskan kepada cerita-cerita hantu-pelesit yang banyak ditayangkan di kaca TV atau difilemkan pada hari ini. Apakah ertinya ini? Seolah-olah karyawan-karyawan kita sudah kesuntukan modal dan idea. Seolah-olah dunia Melayu telah dilingkari oleh jaringan atau sesawang hantu-syaitan yang buas dan ganas. Patutlah anak-anak Melayu semakin buas dan ganas (?) Demikianlah Melayu

Mungkin waktu telah merubah segalanya. Bak kata perpatah, sekali air bah sekali tebing berubah. Mungkin tebing yang selama ini mempertahankan mertabat kesuasateraan Melayu semakin tua dan layu. Hanya menantikan hari robohnya sahaja. Bila sudah roboh tebing itu nanti, bolehlah kita gantikan dengan dinding-dinding konkrit. Barulah sesuai dengan peredaran waktu yang mementingkan kewujudan hutan-hutan batu dan kota-kota metropolitan yang dihuni oleh manusia-manusia berkepala-batu...

Sebenarnya, aku bimbang dengan nasib sastera Melayu. Mungkinkah kita memerlukan "kemahuan politik" (political will) untuk mengembalikan mertabat kesuasateraan Melayu yang kian merundum? Tapi aku lebih bimbang kalau-kalau gelanggang kesuasasteraan Melayu dijuarai oleh karyawan-karyawan materialistik dan despotik..!

Wednesday, December 22, 2010

DATO' SHAH RUKH KHAN

Bercakap soal seorang bangsa hindustan mendapat gelaran "DATO" dari orang Melayu, aku adalah salah seorang dari bangsa Melayu (itu) yang tidak sedikit pun merasa terkejut perut. Sebaliknya aku telah berjaya membuat satu kesimpulan mudah. Kalau aku menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif, bukan sekadar satu. Agaknya mungkin satu ratus atau satu ribu kesimpulan boleh disimpulkan. Kesimpulan tentang bagaimana nilai sebuah gelaran itu semakin jatuh tersembam ke bumi Melayu ini. Gelaran bukan lagi berasaskan jasa kebaktian. Sebaliknya ia kini lebih berlandaskan populariti, nilai pasaran, kuasa politik dan "mood" orang-orang yang empunya "kuasa" untuk memberi "gelaran".

Lebih mengharubirukan lagi. Orang yang sudah lama mati pun diberikan gelaran. Sebab, sewaktu hidup dahulu beliau tidak sempat menyambar gelaran itu. Mungkin gara-gara terlalu sibuk menyemai bakti dan menabur jasa. Maka tiadalah waktu untuk memikirkan soal remeh-temeh termasuk soal pangkat, darjat, gelaran. Lagipun, apalah yang ada pada pangkat, gelaran, kemuliaan, pemujaan dan darjat. Bukankah Allah Taala telah menegaskan bahawa bani Adam itu sama sahaja. Hanya iman dan takwa yang bakal membezakan "darjat" mereka dan menentukan untung nasib sebenar mereka didalam kubur dan di Akhirat kelak. Gelaran-gelaran dan darjat-darjat duniawi tidak lebih dari suatu tipu-daya semata-mata. Ia juga boleh menyebabkan wujud jurang sosial dalam masyarakat disamping menjuruskan orang terpesong jauh dari keinginannya yang murni dan hidup dalam kebenaran. Ia sekadar memperdayakan manusia. Tidak lebih dari itu.

Bagaimana dengan era Hang Tuah dahulunya? Memang sudah menjadi adat orang-orang Melayu di zaman itu (terutamanya dikalangan aristokrat atau ningrat) meletakkan nama anak masing-masing dengan gelaran-gelaran tersendiri. Gelaran "Tun", "Sang", "Hang", "Seri", "Wan", "Dang", "Tuan" dan macam-macam lagi sentiasa menghiasi nama-nama Melayu klasik secara silih berganti. Bacalah teks "SEJARAH MELAYU" kalau masih kabur. Malah suku kaum asli juga menggunakan gelaran-gelaran tertentu dalam masyarakatnya. Bacalah novel "Putera Gunung Tahan".

Ringkasnya, gelaran-gelaran itu menjadi identiti bagi individu-individu berkenaan. Peranan soaial (Social Role) bagi sesuatu gelaran itu hanya akan muncul di kemudian hari. Ini bermaksud seorang bayi yang diberi nama "Tun Ali" atau "Tun Perak" tidak mungkin terus menjadi Bendahara, Laksamana atau menyandang jawatan-jawatan penting lain dalam birokrasi. Sebaliknya ada kriteria-kriteria khusus yang membolehkan beliau menyandang pangkat itu bila cukup dewasa dan cukup tua. Antaranya, beliau perlu menjadi orang yang duduk dalam "lingkaran pengaruh dalaman" (inner circle). Sudah barang tentu beliau mempunyai pertalian yang paling rapat dengan pemerintah (sultan). Ada kalanya, beliau perlu menjadi "bapa mertua" kepada sultan. Barulah ada peluang cerah untuk jadi Bendahara Paduka Raja.

Ini memang terjadi di Korea. Pada tahun 1418 sewaktu King Sejong naik takhta sebagai raja bagi negara tersebut menggantikan ayahnya yang berundur diri, bapa mertuanya (yang sebelum itu menjawat sebagai menteri peperangan) telah dinaikkan pangkat sebagai perdana menteri. Malangnya usia beliau tidak panjang disebabkan jawatan itu. Menteri-menteri yang rata-rata terdiri dari puak konservatif telah berjaya mencipta satu konspirasi yang memaksa King Sejong menandatangani dikri hukuman bunuh ke atas bapa mertuanya sendiri. Bapa mertuanya itu dituduh bersubhat dengan pemerintah negara Cina. Hakikatnya, para menteri berkenaan takut kehilangan kuasa dan pengaruh. Ini kerana King Sejong dikenali sebagai seorang intelek yang cukup terpengaruh dengan konfucisme. Malahan beliau telah menubuhkan sebuah organisasi yang didokong oleh golongan cendekiawan aliran konfucisme. Golongan ini muncul sebagai ancaman utama bagi para menteri tua yang serba ortodok dan gila kuasa itu.

Beredar dari itu, hari ini aku lihat rentak-tari masyarakat kontemporari semakin mirip ke arah ortodoksi. Menciplak pemikiran-pemikiran tua golongan aristokrat terdahulu. Tidak cukup dengan itu. Aku perhatikan mereka juga ada kalanya bersifat cukup konservatif. Apabila disebut perkataan konservatif, ia bukan bermaksud "kolot", "ketinggalan zaman" atau "anti pembaharuan".

Apa itu konservatif? Konservatif bermaksud "mempertahankan" (to conserve) apa menjadi kepentingan (atau berkepentingan) demi kelangsungan hidup dan survival sesuatu kaum atau golongan. Mempertahankan dengan cara habis-habisan. Dan ini bukan perlakuan yang tidak tipikal. Hampir semua lapisan masyarakat memiliki ragam perangai yang hampir serupa. Saling mencetak-rompak mentaliti yang lain. Kalau tidak, mereka mungkin tidak selamat..

Berbalik kisah Shah Rukh Khan yang berjaya menambat hati orang Melayu hingga merangkul gelaran "Dato". P Ramlee yang dikatakan terlalu besar jasanya kepada persada seni negara hanya berjaya merangkul gelaran setelah lebih suku abad meninggal dunia. P Ramlee diberi darjah PSM atas bakti seninya kepada bangsa Melayu di sepanjang hidup. Tetapi Shah Rukh Khan diberi darjah kebesaran atas dasar apa? Bila agaknya Shah Rukh Khan telah membantu negara ini? Dalam bentuk apa? Dan bagaimana?

Apabila masyarakat bangun mempersoalkan kewajaran pemberian darjah kebesaran ini, itu bukan petanda mereka gemar menderhaka bagai Hang Jebat (atau Kasturi?). Sebaliknya ini membuktikan bahawa mereka cukup prihatin. Mereka turut bimbang dengan makna serta nilai di sebalik gelaran-gelaran yang diberi. Adakah kita sudah jadi terlalu materialistik? Segalanya harus dirangkumkan dan dipalitkan dengan gelaran dan darjat barulah masyarakat boleh membangun dan maju?

Shah Rukh Khan sudahpun rasa "bahagia" dengan darjah kebesarannya. Mungkin juga beliau sudah lupa di lemari atau rak baju yang mana digantungnya selempang dan buah pingat kebesaran itu. Bagi orang asing seperti beliau (yang memang sudah dikenali dinegaranya), gelaran-gelaran seperti itu bukanlah sesuatu yang beliau kejar. Yang diburunya ialah 'awards' serta peluang untuk terus menjadi aktor dalam filem-filem seterusnya. Kerana, hanya dengan berlakun barulah beliau dapat menanggung makan-minum anak-anak dan isterinya. Jika tidak berlakun, pasti beliau sekeluarga akan hidup melarat jika tidak mati kelaparan.

Oleh itu, aku fikir eloklah orang-orang Melayu jangan terlalu bersedih dengan apa yang terjadi. Manusia datang dan pergi. Sebagaimana manusia, pangkat dan darjat juga akan datang dan pergi. Yang tinggal hanya amalan. Ia pasti akan menemani kita sewaktu didalam kubur nanti. Ia akan datang tetapi tidak pergi - hingga hari Kiamat.






Sunday, December 5, 2010

KISAH KUDA KEPANG

Sewaktu menonton "PONTIANAK HARUM SUNDAL MALAM 2" (PHSM 2) di Astro, aku cukup tertarik pada adegan kumpulan kuda kepang yang bertindak menangkis serangan pontianak yang mengamuk gara-gara mempertahankan si bayi yang telah dicurinya. Episod itu cepat mengingatkan aku pada tarian kuda kepang yang pernah aku lihat sewaktu di tingkatan 1. Ini kisah sewaktu di kampong orangtuaku.

Mungkin suatu kebetulan. Memang di kampong itu ada suatu kumpulan pemuda yang bergiat aktif dalam kuda kepang. Ia digerakkan oleh masyarakat Jawa yang kebanyakannya datang dari Batu Pahat dan menapak di kampong itu sejak beberapa lama. Jadi, ia bukan sesuatu yang terlalu luarbiasa untuk dikagumkan. Cuma aku sahaja yang tidak berminat menonton. Bagi adik-adik dan abang-abang aku, perihal kuda kepang adalah sesuatu yang sudah menjemukan, sebagaimana kumpulan kompang. Yang pasti, aku sendiri tidak berminat kepada kedua-duanya walhal rakan-rakan sebayaku ramai yang aktif dalam pelbagai kegiatan termasuk persilatan dan lain-lain.

Malangnya hari ini kegiatan-kegiatan ini semakin malap. Jarang benar aku mendengar cerita-cerita tentang silat, jauh sekali kuda kepang bila sekali-sekala balik kampong. Barangkali sifu-sifunya sudah pencen agaknya. Mungkin ada yang sudah mati. Jadi, kegiatan-kegiatan yang dianggap sebagai sebahagian dari seni-budaya Melayu itu mungkin turut berkubur dengan terkuburnya tokoh-tokoh yang menggerakkan kegiatan-kegiatan berkenaan. Mungkin....

Berbalik pada soal kuda kepang, apa yang aku lihat dalam filem PHSM 2 adalah suatu versi yang berbeza berbanding dengan yang aku tonton secara "live" di kampong. Kudang kepang "live" tidak boleh melompat tinggi (sebagaimana kuda..). Jauh sekali terbang tinggi sebagaimana dalam PHSM 2. Seingat aku, rentak tari, kuda, tali cemeti dan musik iringan tidak banyak beza. Tapi aku tidak berapa pasti dengan mentera-mentera yang digunakan.

Aku juga tidak tahu apa jenis serapah atau jampi yang dibaca dan dihembus ke lubang telinga dalam memulihkan kembali "semangat" petari-petari kudang kepang yang tidak sedarkan diri. Yang pasti, ada sahaja yang akan "hilang akal" di pertengahan atau pengakhiran tarian-tarian berkenaan.

Mulanya, aku tidak percaya dengan apa yang diceritakan oleh adik dan rakan-rakan. Mana tahu kalau-kalau mereka cuba nak kelentong aku? Jadi, molek kalau aku pergi sendiri dan lihat apa yang berlaku dan terus berlaku. Apa yang jelas dapat dilihat, tali cemeti yang dipegang oleh ketua petari kuda kepang bagai mempunyai tarikan magnetik yang berupaya menarik dan menolak petari-petari tadi.

Disinilah titik-tolaknya. Petari (atau petari-petari) yang tewas dan tunduk dibawah daya magnetik ini akan bertindak di luar jangkaan dengan memakan bunga-bunga yang dihulurkan. Mereka akan berperilaku di luar batasan sebelum menggelepar bagai kerbau yang baru disembelih. Bagai dirasuk jin dan syaitan. Apabila ini terjadi, pemegang cemeti dan pembantu-pembantunya akan segera "menangkap" petari berkenaan dituruti dengan bacaan mentera yang dihembus ke lubang telinga beliau. Kononnya untuk memanggil kembali "semangat" yang tadinya lesap gara-gara melakukan tarian berkenaan.

Entahlah. Walaupun baru belajar di tingkatan 1, aku tidak boleh menerima logik kata-kata mereka itu. Persoalan "memulihkan semangat", serapah-jampi, mentera-mentera, tali cemeti yang dikatakan berazimat dan lain-lain itu cukup meragukan. Aku kurang pasti apa pandangan Islam terhadap kegiatan-kegiatan seni serupa ini. Kerasukan, kekuatan yang berlebihan hingga membahayakan diri sendiri dan orang lain, dan macam-macam lagi kejadian pada malam itu... Bolehkah ini diterima sebagai suatu budaya yang sihat dan wajar dikekalkan dalam masyarakat Melayu?

Hari ini bila mendengar orang bercakap soal kuda kepang, mahu saja cepat-cepat aku memintasnya. Sebagai orang Islam, kita perlu membenteras apa-apa sahaja kegiatan yang berbaur dengan unsur-unsur animisme. Kita sudah 53 tahun merdeka. Sepatutnya animisme sudahpun terhapus dari jiwa dan sanubari masyarakat Islam sejak setengah abad yang lampau. Sampai bilakah unsur sesat ini dibiarkan bersarang dalam budaya dan kesenian Melayu?

Thursday, December 2, 2010

WAYANG KULIT

Ketika di sekolah rendah, aku telah diajak pergi oleh Paksu Wahid (cuma setahun lebih tua dari aku..) menonton wayangkulit (di Kampong Alai), lebih-kurang 3 km dari rumah nenekku di Kampong Tasek, Segamat. Ia bersempena dengan suatu majlis perkahwinan seorang penduduk (dari keluarga Jawa tempatan) di kampong itu. Itulah pertamakali dalam hidup aku menonton wayangkulit secara "live". Sebelum itu aku cuma biasa dengan kuda kepang. Wayangkulit itu berlangsung selama 3 malam berturut-turut. Tapi aku cuma sempat menonton buat satu malam sahaja, iaitu malam pertama.

Waktu itu aku memang buta sastera. Jadi, apalah yang diharapkan pada budak yang baru darjah 5 untuk menghadam apa yang dihidang? Aku cuma kenal sastera bila di tingkatan 1. Tapi masih jelas di ingatanku bagaimana keadaan sebenar persembahan wayang kulit pada ketika itu. Peralatan yang digunakan ialah layar putih, lampu minyak gas, pondok persembahan yang didirikan khas untuk maksud itu. Watak-watak diperbuat dari kulit yang di reka rapi. Tok dalang menyampaikan bait-bait dialog watak-watak dalam bahasa Jawa yang agak kuno diiringi oleh musik serunai, gendang, gong dan lain-lain.

Malam itu barulah aku tahu siapa itu Seri Rama, Sang Rajuna Tapa (beruk sumpahan) dan lain-lain. Dalam perjalanan pulang ke rumah aku sempat berborak dengan Paksu berhubung watak-watak tadi. Kami juga bercakap soal watak-watak protagonis dan antagonis selain dari kegelian kami terhadap bait-bait dialog yang telah diperdengarkan oleh Tok Dalang yang pekat berbahasa Jawa itu. Agak sulit difahami jalan ceritanya disebabkan kejahilan kami terhadap sastera serta kata-kata yang digunakan oleh Tok Dalang tadi.

Tapi pengalaman ini cukup berharga buat seorang budak yang baru berusia 11 tahun. Selama ini aku cuma kagum dengan kisah-kisah Panji Semerang dan lain-lain. Terutamanya kisah Laksamana Tun Tuah (kerana Paksu ada "smuggled" teks tersebut entah dari mana-mana..). Malangnya aku bukan jenis manusia yang rajin membaca. Jadi, aku tak sempat menghabiskan bacaan sebelum teks itu lesap entah kemana. Tapi Paksu sempat membaca sampai habis. Jadi, puaslah aku dikelentongnya!

Keesokannya kami masih tidak betah dari bersembang soal wayangkulit malam tadi. Kami juga berbincang samaada mahu menyambung tontonan pada malam ini atau tidak. Malangnya tempat tersebut adalah terlalu (kalau diukur pada jarak berjalan kaki sejauh 3 km melalui denai kampong dan belukar serta umur kami yang masih agak rendah..) dan nenek tidak gemar kami merayau-rayau di waktu malam. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk membatalkan saja rancangan itu bagi menghindarkan leteran nenek.

Hari ini wayangkulit boleh ditonton melalui television, Internet dan lain-lain media. Malangnya aku tidak pernah berpeluang melihat ianya disampaikan dalam bahasa Jawa pekat seperti di darjah 5 dahulu. Hari ini wayangkulit didominasi oleh tok-tok dalang Kelantan. Menggunakan spotlight serta peralatan-peralatan audio-visual tambahan selain musik tradisional. Ada kalanya ceritanya bukan berasaskan Hikayat Seri Rama atau sastera klasik. Tok-tok dalang sekarang telah mengambil inisiatif menggunakan cereka-cereka modern berunsurkan isu-isu masyarakat kontemporari. Tapi ia telah meninggalkan kesan yang berbeza. Mungkinkah ini yang telah menyebabkan orang-orang sekarang kurang berminat kepada wayangkulit?