Wednesday, January 5, 2011

WAHAI SURATKABAR SEKALIAN....!!

Entahlah. Apalah celakanya nasib suratkabar-suratkabar hari ini. Semakin hari semakin lesu. Intinya semakin basi. Bukan sekadar basi. Malah beracun. Racun paling berbisa. Bisa yang mampu memusnahkan kerafaqan umat. Boleh menggegarkan tiang seri kuasa ketuanan Melayu. Boleh merobohkan bumbung yang selama ini menaungi keharmonian bangsa dan masyarakat majmuk yang semakin majmuk di negara ini.

Aku betul-betul sangsi. Kredibiliti akbar-akbar sebagai sumber berita utama yang bersih, amanah dan telus sudah tercabut dari tunjangnya. Semakin tunduk merundum mengikut telunjuk bos-bos yang bersekongkol dengan broker-broker politik. Broker-broker yang semakin ketandusan modal untuk berpolitik. Dan, suratkabar-suratkabar dijadikan "tandas" untuk melepaskan segala "najis-najis" dan toksid yang berserat dalam hati dan jantung masing-masing. Hatta, siapakah mangsanya? Sudah tentu orangramai yang tekun "memutlaah" surat-suratkabar ini. Bagaikan si yahudi tua yang khusyuk menguak lembaran-lembaran kitab talmud. Helaian demi helaian dibelek. Ditelek. Dikilas. Diulas. Dipulas. Hingga jadi berbelit-belit dan terbelitlah mindanya.

Aku bimbang. Dan akan terus bimbang. Takut-takut kalau manusia buta juga akan jadi celik matanya gara-gara diberikan suratkabar. Memang menguntungkan, jika benar demikian. Doktor-doktor pakar mata terpaksa gulung tikar kerana tiada lagi manusia buta. Tetapi hakikatnya ia tidak pernah ditakdirkan demikian. Apa yang mulai terjadi dan akan terus terjadi adalah sebaliknya. Manusia celik menjadi "buta" lantaran membaca suratkabar. Buta hati dan tuli jiwanya. Akibat terlalu banyak memakan "najis-najis" yang dilepaskan oleh broker-broker politik yang berkarat dan rosak akhlak.

Aku tidak tahu. Tapi aku perlu tahu. Kenapa dan mengapa ia jadi semakin teruk? Ibarat kudis pekung yang ditempekkan dengan najis. Sudah pastilah buruk padahnya. Bagaimana pekung mahu pulih kalau tuan doktornya sekadar pandai menajisinya saja? Hatta, ia akan mengembangbiakkan lagi kudis itu menjadi wabak dalam masyarakat.

Aku ingin bertanya. Bagaimana suratkabar mahu menjadi alat yang boleh membina minda positif dan progresif kalau saripati serta intipatinya bersarat dengan propaganda demi propaganda, pesimisme demi pesimisme, fitnah demi fitnah, pesona demi pesona, tohmahan demi tohmahan? Mana dia engkau letakkan ceritera-ceritera yang positif, proaktif, inovatif, progresif, yang baik-baik, yang cantik-cantik, yang indah-indah? Dimana?

Ada...? Tapi dimana kau sorokkan? Mengapa harus dikecil dan dipendekkan perkara yang baik-baik? Kenapa perlu diperbesar-besar dan diperpanjang-panjangkan perkara-perkara yang buruk-buruk, hodoh, hina dan merosakkan? Mengapa engkau terlalu menyeleweng, korup dan despotik? MENGAPA? Kenapa suratkabar kau jadikan alat untuk maksud-maksud peribadimu serta suku-sakat dan kerabatmu?

Jika demikian, terbitkanlah secara khusus untuk suku-sakat dan para pecacai disekeliling kamu itu sahaja. JANGAN cuba diperpanjangkan kepada masyarakat (walaupun kita mengamalkan dasar demokratik dan kapitalistik pasaran). Mereka jangan kau jadikan MANGSA. Mereka tak seharusnya sama-sama bersubahat menanggung dosa-dosa yang engkau hasilkan itu. Cuba fikir dalam-dalam. Sampai bila engkau harus menganiaya dan menodai jiwa orang-orang yang daif dan tidak berdosa?

Wahai suratkabar-suratkabar sekalian.. pulanglah ke pangkal jalan. Insaflah bahawa kita semua akan ke lubang kubur kesudahannya. Janganlah berlagak bahawa kita akan menongkat langit sepanjang zaman. Sedarilah bahawa malaikat maut pasti meragut nyawa setiap dari kita. Jadi, sebelum terlambat, berundurlah kembali ke landasan yang betul. Jangan dek kerana kegilaan yang sedikit kita (dan masyarakat ini) akan ditimpa bencana sepanjang hayat. Renungkanlah, wahai suratkabar-suratkabar sekalian..

Monday, January 3, 2011

MENGENALI ERTI KESUSASTERAAN

Itu cuma satu kebetulan.

Mulanya aku cuma tahu apa itu novel, cerpen (cerita pendek), puisi dan sajak pada kulitnya sahaja. Kebetulan abangku yang bernama Razak agak rajin membeli majalah Dewan Sastera (terbitan DBP). Memandangkan rumah kami jauh dari pekan (dan bahan-bahan bacaan masih terlalu terhad di rumah) dan duit selalu tidak cukup, jadi aku sekadar tumpang membaca apa yang dia beli. Waktu itu dia di tingkatan 4 (aliran Sastera) dan aku masih di Form 3. Sekali-sekala aku pun ada juga memesan teks-teks berharga murah di DBP dan Utusan Melayu Publication (bila cukup duit..). Minat membeli buku memang cukup mendalam ketika itu. Malangnya, mana ada duit?

Yang pasti, aku masih ingat tentang sebuah teks klasik yang selalu dicebet si abangku itu kehulu -kehilir. Teks "Merung Mahawangsa". Tapi aku tak pernah membaca teks itu kerana bahasanya yang terlalu klasik. Bila aku naik tingkatan 6 (Sastera), barulah aku sedar bahawa aku tak dapat lari dari membaca teks-teks serupa itu. Selama ini aku terbiasa dengan cerpen dan novel selepas perang (selepas perang bermaksud selepas Perang Dunia Kedua). Aku cuba elak jauh-jauh dari membaca teks sastera hasilan sebelum perang.

Aku sebenarnya telah mula membaca bahan-bahan sastera (selain artikel suratkabar) secara ekstensif seawal tingkatan 2. Tujuan asalku ialah untuk lulus BM bila ambil LCE dan MCE nanti. Tidak lebih dari itu. Waktu itu aku juga sedang "bertak-tih" membeli teks-teks sedemikian rupa. Selain terbitan DBP dan Utusan Melayu, sempat juga aku melanggan dari Pustaka Nasional, Pustaka Antara, PAP dan penerbitan-penerbitan Indonesia. Antara penulis-penulis yang menarik minatku ialah Hamka, A Samad Said, Shahnon Ahmad, Sutan Ali Shahbana, Keris Mas dan ramai lagi. Kebanyakan bahan-bahan ini terdiri dari novel dan cerpen. Puisi, Sajak dan bahan-bahan klasik aku elak jauh-jauh.

Bila berada di tingkatan 6 Atas (dan hanya beberapa bulan saja lagi akan menduduki HSC), barulah aku benar-benar serius. Hampir semua genre sastera kujenguk. Apa nak buat, dah terpaksa. Antara yang terbaru yang (perlu dikuasai) ialah Kritik Sastera. Entahlah. Aku rasa memang aku seorang pelajar yang pemalas bila tiba bab kritikan atau ulasan sastera dalam kelas. Berleret-leret. Meleweh-leweh. Menjejeh-jejeh. Menyampah! Menyebabkan aku cepat rimas dan lemas bila masuk kelas itu. Ini ditambah dengan guru-guru lepasan UM dan UKM yang hanya merujuk dan membacakan (semula) nota-nota mereka sewaktu di kampus dahulu (agaknya!) kepada kelas. Guru akan membaca notanya dari minit pertama hingga minit terakhir. Pelajar (termasuk aku) akan menulis apa yang dibaca guru. "...Ini kerja gila,.." kata aku dalam hati. Kelabu asap...! Macamana pelajar nak pandai?

Namun pada ketika yang sama citarasaku berubah kepada puisi dan sajak. Lantaran apa? Kerana, bukankah sajak dan puisi pendek-pendek belaka? Jadi, cepatlah aku habis membacanya. Aku boleh khatam satu antologi sajak dalam sekerat hari sahaja. Untuk antologi puisi klasik, mungkin dalam dua hari (lantaran bahasanya berlenggok-lenggok). Dalam kelas, aku memang "juara" interpretasi puisi. Sejak di tingkatan 6 Rendah aku (secara default) jadi "pakar rujuk" dalam bab menginterpretasi sajak dan puisi. Rakan-rakan akan meluru bertanyakan itu dan ini tentang sesuatu sajak sebaik sahaja guru memberi "assignment".

Aku seronok jadi "popular" sekejap. Lantaran "keistimewaan" kecil ini. Tapi mengapa genre puisi (padaku) jadi terlalu mudah? Ada rahsianya. Tidak ramai orang tahu. Aku memang sudah belajar mencipta puisi sejak di tingkatan 3 (walaupun cuma main-main). Tapi semua hasilan itu sekadar terperap dalam buku nota yang akhirnya lenyap entah kemana. Tak pernah terhantar kemana-mana kecuali dua - satu di majalah terbitan PAP dan satu lagi untuk kad hariraya di Sekolah Tinggi Segamat.

Pun begitu, hatta, untuk bab-bab puisi (klasik mahupun modern), jangan ada yang berhasrat nak kelentong aku... Mungkin (juga) pada hari ini perihal sastera Melayu pun tolong jangan kelentong. Walaupun sudah terlalu jarang membeli dan membaca karya-karya sastera, perkembangannya tidak pernah terlepas dari pemerhatianku. Hari ini aku akan melihat sastera dari pelbagai dimensi. Bukan sekadar dari kacamata seni semata-mata. Mungkin dari perspektif saintifik, pendidikan, geopolitik, lebih global - selaras dengan pengalaman hidup serta tahap kematanganku pada hari ini.

Pada 24 Disember tahun lalu aku sempat singgah di rumah abangku tadi (di Segamat Baru). Agak terkejut bila beliau mengeluarkan teks "Putera Gunong Tahan" (oleh Pak Sako) dan dua lagi teks iaitu "Sejarah Melayu" (oleh Tun Seri Lanang susunan Shellabear) dan "Salatus Salatin" (susunan A Samad Ahmad). Ini merupakan teks-teks lama bacaanku. Teks "Putera Gunong Tahan" kubeli waktu di tingkatan 3. Teks "Sejarah Melayu" itu pula memang jadi teks rujukan bagi subjek BM Kertas 2 (Kesusasteraan Melayu) untuk peperiksaan HSC. Masih ada lagi nota-nota kecilku dalam teks ini. Betapa aku kagum dengan semangat abangku itu. Walhal aku sendiri tidak pernah berusaha untuk menyimpan buku-buku lamaku sendiri.

Bila direnungkan kembali kisah lama (dan cuba dibandingkan dengan kisah yang baru), betapa jauhnya perjalanan hidup yang telah dilalui. Dulu aku cuma membaca bahan-bahan sastera (selain dari diselang-selikan dengan majalah-majalah separuh berat) yang mampu dibeli di pasaran. Tapi kini aku bukan lagi pembaca yang terhad. Hari ini aku harus membaca makalah, teks atau jurnal yang berat-berat. Mungkin lebih berat dari batu-batu jalanan. Kerana aku perlukan pengetahuan serta kemahiran-kemahiran baru pada melaksanakan tugas-tugas harianku. Aku juga menyimpan cita-cita besar untuk umatku. Hanyasenya, aku masih belum mampu melakukannya lantaran hambatan-hambatan yang belum berkesudahan.

Hari ini aku tidak pasti tentang sastera. Maksudku, halatujunya. Dulu Kesusasteraan Melayu menjadi subjek teras (kalau bukan wajib) di dalam SPM dan STPM. Sekarang ia cuma jadi subjek "tumpangan", kalau bukan picisan. Aku tidak pasti mengapa itu kesudahannya. Aku sebenarnya sedih. Kesusasteraan Melayu sebagai salah-satu dari cabang utama seni-budaya Melayu kini semakin terpinggir. Yang muncul bagai cendawan ialah karya-karya kontemporari yang masih gagal memberi kesinambungan peranan untuk mencetuskan kesedaran-kesedaran positif dalam masyarakat.

Dalam usaha pemerintah untuk mengembalikan kegemilangan Bahasa Melayu sebagai bahasa perdana negara ini (yang dikenali sebagai Bahasa Malaysia) aku masih belum jelas dimanakah letaknya kedudukan Kesuasateraan Melayu. Mungkinkah di persada pendidikan? Atau, sekadar menjadi bahan rujukan bagi penerbit-penerbit drama, teater atau persembahan-persembahan lain? Mungkin ada yang berteori bahawa Bahasa Melayu klasiklah yang menyebabkan orang-orang Melayu bersikap ortodok dan klasik. Bahasa Melayu yang kaya dengan sastera telah menyebabkan Melayu menjadi lembab, berleret-leret, banyak berlapek, terhegeh-hegeh. Orang-orang Melayu sukar belajar kerana bahasa mereka terlalu beruntai-untai, berpantun-pantun, sarat dengan perpatah, pertitih, bidalan. Tidak saintifik. Bagaimana mahu maju cepat?


Demikianlah Melayu. Kerana gagal menyalahkan benda lain, maka Bahasa Melayu dipersalahkan. Akibatnya, kesuasateraan Melayu turut menjadi mangsa keadaan. Diperlekehkan. Hari ini bila aku bertanya dengan budak-budak lulusan SPM dan STPM, majoriti tidak mengerti dengan sastera. Apatah lagi graduan-graduan terkini. Ada yang memperlihatkan wajah yang kabur bila ditanya soal kesuasteraan Melayu - suatu gambaran yang memperlihatkan betapa kaburnya masadepan kesusasteraan Melayu tempatan. Tapi bila ditanya tentang musik pop, rock dan hip-hop, mereka cepat memberi ulasan berserta dengan demonstrasinya sekali.

Begitu juga apabila ditanyakan tentang drama dan filem-filem Melayu dan hubungkaitnya dengan kesuasateraan Melayu. Dengan cergas dan "energetik" mereka memfokuskan kepada cerita-cerita hantu-pelesit yang banyak ditayangkan di kaca TV atau difilemkan pada hari ini. Apakah ertinya ini? Seolah-olah karyawan-karyawan kita sudah kesuntukan modal dan idea. Seolah-olah dunia Melayu telah dilingkari oleh jaringan atau sesawang hantu-syaitan yang buas dan ganas. Patutlah anak-anak Melayu semakin buas dan ganas (?) Demikianlah Melayu

Mungkin waktu telah merubah segalanya. Bak kata perpatah, sekali air bah sekali tebing berubah. Mungkin tebing yang selama ini mempertahankan mertabat kesuasateraan Melayu semakin tua dan layu. Hanya menantikan hari robohnya sahaja. Bila sudah roboh tebing itu nanti, bolehlah kita gantikan dengan dinding-dinding konkrit. Barulah sesuai dengan peredaran waktu yang mementingkan kewujudan hutan-hutan batu dan kota-kota metropolitan yang dihuni oleh manusia-manusia berkepala-batu...

Sebenarnya, aku bimbang dengan nasib sastera Melayu. Mungkinkah kita memerlukan "kemahuan politik" (political will) untuk mengembalikan mertabat kesuasateraan Melayu yang kian merundum? Tapi aku lebih bimbang kalau-kalau gelanggang kesuasasteraan Melayu dijuarai oleh karyawan-karyawan materialistik dan despotik..!