Tuesday, October 19, 2010

KISAH DI BATU BADAK: KETINGGALAN BAS

Sampai sekarang pun aku masih teringat kisah ini. Kalau ketinggalan bas sewaktu nak ke sekolah, tentu buruk padahnya. Nasib baik ketinggalan bas sewaktu pulang dari sekolah.

Kisah ini terjadi sewaktu aku di darjah 6. Penggal pertama. Suatu hari aku terlewat sedikit meninggalkan kelas. Maka apabila aku turun ke kawasan tapak bas-bas menunggu murid-murid, bas sewaanku baru saja lesap. Aku terpanik sekejap. Ah, tak boleh jadi. Nampaknya aku tiada pilihan lain kecuali membetis sejauh lebih-kurang 9 batu (15 km). Mujur hari panas. Dan, aku selamat sampai ke rumah Atok Teh lebih-kurang jam 3 petang.

(Bangunan asal Sekolah Rendah Inggeris Segamat masih dikekalkan)

(Dulu ini merupakan laluanku ke kantin kecil)

(Koridor ini cukup nostalgik! Kami akan berbaris disini untuk ke perhimpunan di padang sekolah)

(Desa perumahan ini terletak di belakang sekolahku itu. Dahulu kawasan ini berupa rimba sarang harimau)

(Sekarang sekolah ini dinamakan SK Datuk Wan Idris, Segamat)

Tiba di rumah, Atok Teh yang tampak serius terus menyuruh aku makan tengahari sambil melaksanakan "post mortem" mengapa aku lambat pulang. Akupun jawab selamba: "...tertinggal bas!". Akhirnya beliau tertawa dan nasihatkan agar aku lebih cepat bergerak dan jangan cuba ke bilik air atau buat benda-benda lain yang boleh menyebabkan aku ketinggalan bas lagi. Aku mengiakan saja. Maklumlah, aku memang bukan jenis suka bercakap banyak.

Lauk tengahari itu memang sedap, sardin masak sambal. Sampai sekarang masih kuingati. Atok Teh memang gemar masak sardin. Akupun bukan jenis pemilih sangat. Apa saja yang dia masak, aku bedal. Kalau dia gulai tiang telefon pon aku bedal jugak!

Tapi sebelum aku ketinggalan bas, aku juga pernah ditinggalkan oleh kereta sewaku. Itu berlaku sewaktu di darjah satu. Yang itu aku betul-betul panik. Aku terpekik-pekik memanggil kereta itu. Maklumlah, sudah jam 6.30 petang. Kalau aku ketinggalan kereta ini, alamat aku bermalam di sekolah lah! Dan, membayangkan wajah Atok Cik (waktu di Jalan Hassan), mungkin teruk aku dikerjakannya nanti. Alhamdulillah, drebar kereta itu perasan. Aku terselamat!

Itu adalah antara dua kisah yang kekal melekat di fikiranku sehingga kini. Kisah sewaktu di Sekolah Rendah Inggeris Segamat.

Monday, October 18, 2010

JERAM BATU 3

Sewaktu kecil dahulu kami sekampong menggelarkan tempat ini sebagai Batu 3. Lantaran ia terletak lebih-kurang 3 batu dari tempat kami. Dan memang ada batu tanda terpancang di tepi jalan menghala ke tempat itu. Tapi hari ini ia ditukarkan kepada Hutan Lipur Sungai Bantang. Terdapat sebuah bangunan kayu yang cantik (pejabat milik Jabatan Hutan) disitu selain dari bilik air dan (mungkin) stor. Gerai-gerai sementara juga sudah mula berderet di tepi laluan menuju ke jeram. Gaziboo pun nampaknya ada juga. Sesuai untuk berteduh atau santapan tengahari.


Tempat itu masih secantik dulu. Mungkin airnya agak berkurangan, petanda hutan balak semakin pupus di bahagian hulu. Tetapi masih sesuai untuk dijadikan tempat mandi-manda, lepak, shooting drama hindustan, bertapa, berborak dengan jin atau mengendap. Terpulanglah pada tujuan dan niat masing-masing. Tapi setakat jam 6 petang sahaja. Selepas itu anda tidak dibenarkan berlegar disitu lagi. Anda akan diperhambat keluar atas maksud keselamatan.



Aku sebenarnya jarang kemari. Tengok mood. Atau jadual. Sebab itu bila tiba disini, jam dah gelap. Orang sibuk hendak balik barulah aku terhegeh-hegeh sampai. Sebenarnya ada sebab. Aku tak gemar hiruk-pikuk yang membingitkan telinga. Aku nak dengar suara air jeram yang buas. Aku nak nikmati pekikan chenderiang dan apa sahaja ulat-ulat yang suka berlagu. Aku juga nak "enjoy" siulan unggas-unggas serta pekikan mergastua atau sang beruk dari atas gunung. Jadi, datanglah sesudah asar. Nescaya anda akan terpegun dengan apa yang anda lihat.

Namun disebalik keindahan alam disini, ada sejarah yang patut dijadikan iktibar. Pernah terjadi pembunuhan disini selain kejadian ditimpa dahan kayu balak. Itu belum termasuk kisah terseliuh, terhaggul batu, tergelincir, lebam sana lebam sini, dan macam-macam lagi. Maka, berwaspadalah selalu. Tiada jaminan 100 per sen. Boleh bergembira-ria. Tapi, ingati Allah Taala bila anda berada disini. Dan, tinggalkanlah hutan ini sebelum jam 6.30 petang. Jika tidak, jin ifrit akan mengajak anda bersembang panjang.


Pertama kali aku sampai disini ialah (mungkin) waktu di darjah 5 atau 6. Waktu itu aku pergi dengan adik (Johan, Juanda) dan abang (Razak). Ada seorang-dua rakan kampong turut serta. Dengan saiz kami yang masih kecil, mencukupi untuk sebuah basikal tua milik ayah (naik 4 orang) untuk tiba di tempat itu. Rakan-rakan lain juga berkongsi basikal. Separuh perjalanan, kami ambil jalan pintas meredah kebun getah Cina hinggalah sampai ke pinggir hutan menjurus ke lokasi jeram berkenaan. Kami bergerak awal dan tiba di lokasi sebelum tengahari. Sebab, kami perlu tiba semula di rumah sebelum petang. Jika tidak, ibu akan memberi khutbah yang panjang dan lebar.

Biasanya kami pergi dengan tangan kosong. Al-maklumlah, budak-budak kampong. Memang tak tahu adat-istihadat bersantap macam orang bandaraya. Memang tidak terfikir perlu membawa sebarang makanan pun. Hanya bila dah tua-bangka baru sedar bahawa memang seronok kalau ada sandwitch, biskut bujang, teh tarik atau kopi sejuk. Biasanya selepas puas jadi badak berendam, perut memang kebuluran. Jadi, bila sudah besar, barulah sedar diri. Sekarang semua orang bawa bekalan kalau hendak berendam di Sungai Bantang. Paling tidak, mee goreng mamak atau mee siam pun tanggung beres. Jangan beli di gerai. Harganya mahal. Rasanya entah "hapa-hapa".. Paling malas pun, buatlah sandwitch sendiri, roti kaya atau roti telor dan bancuhlah teh bujang buat bekalan ke sana.

Tapi kalau nak ke jeram ini, carilah tarikh yang sesuai. Mungkin diluar musim akhir cuti persekolahan misalnya. Jika tidak, kita perlu bertoleransi dengan kesesakan yang terjadi. Dan bagi aku (dan suku-sakatku yang masih tinggal berdekatan kampong kami), ini suatu kelebihan yang sukar diperolehi. Sebagaimana kisah pendidik kampong Ulu Chepor dekat Chemor. Amat beruntung - kerana duduk berdekatan dengan hutan lipur. Namun jeram hutan lipur Ulu Chepor bukanlah tandingan untuk jeram Sungai Bantang.

Demikianlah secara ringkas kisah Jeram Batu 3.

Sunday, October 17, 2010

KALAU BERSAHABAT

Perpatah purbakala ada berkata: "Teman ketawa banyak yang dapat, teman menangis sukar dicari.." Orang Melayu dahulukala memang petah mencipta perpatah walaupun mereka tak pernah ke universiti. Namun perpatah atau bidalan-bidalan ini bukan sembarangan. Ia terbina dari pemerhatian terperinci atau kajian demi kajian. Hakikatnya, bukan main serkap jarang atau hentam secara sembrono macam politikus tak bermaruah zaman sekarang.

Memang benar. Kawan untuk diajak bergelak-ketawa atau menjual temberang memang banyak melintang-pukang didepan dan belakang kita. Tapi bila kita menangis, hanya tunggul kayu, tiang talipon atau kucing tua sahaja yang sudi temani. Yang lain lesap entah kemana. Lebih menyiksa lagi kalau kita sedang terjebak dalam wabak hutang dan tekanan hidup. Ancaman oleh majikan sudah cukup berat untuk memaksa kita tidak lena tidur. Kawan-kawan yang tidak berkualiti dan bermoral adalah pelengkap kepada penyiksaan itu.

Bagi mereka yang terlalu taksub kepada persahabatan (macam dalam filem hindustan atau drama-drama kontemporari), mereka sanggup menerima apa sahaja qadha dan qadhar yang datang kepada mereka. Sebagaimana si Jebat (dalam Sejarah Melayu dikatakan Kasturi) yang terlampau taksub bersahabat dengan Tuah. Ditamatkan cerita, Jebat dihapuskan oleh kesetiaannya sendiri. Kalaulah beliau boleh bersikap lebih profesional, sudah tentu sejarah tok nenek kita akan berbeza.

Sebab itu eloklah berhati-hati bila memilih sahabat. Bak kata orang, "...berkasih biar beribu, berkawan biar satu.." Logik? Mungkin tidak. Tapi, boleh uji teori tu. Baru kita pasti bahawasenya memang sukar mendapatkan kawan yang boleh diberikan status "sahabat". Selebihnya, mereka bukanlah sahabat. Sekadar rakan sekerja, kawan sejabatan, rakan sekelab, rakan sekampong, rakan sepasukan, rakan sekolej, geng merempit, rakan berpolitik dan lain-lain. Kalau masih tidak yakin, eloklah buat kajian sendiri.

Bersahabat memang penting. Selama ini kita sekadar meluahkan apa yang tersirat dan terbuku didada pada kucing-kucing tua, dinding-dinding usang atau cermin-cermin retak yang tidak tahu bertindakbalas. Mungkin sekali-sekala kita perlukan seseorang yang benar-benar boleh menjadi pendengar. Bukan sekadar memiliki daya pendengaran yang baik dan cekap, tetapi mampu menghadam, mencerna dan memberi pendapat yang bernas. Kalau sekadar mampu jadi pendengar yang baik, tikus-tikus atau cicak pun boleh mendengar!

Tapi kadangkala lebih bagus memiliki sahabat yang pendiam. Bukan bisu. Mungkin sedikit bodoh, tapi berakal dan gemar menggunakan akalnya. Setidak-tidaknya, tidak pandai menyakitkan jiwa. Namun, kadang-kadang kebodohan juga boleh mencetuskan sakit hati yang teruk. Jadi, molek kalau cari yang sederhana. Yang tengah-tengah. Tidak terlalu kiri. Tidak terlalu kanan. Tidak berat sebelah. Bukan fanatik. Berfikiran terbuka tapi pemikir. Tidak terlalu serius atau terlampau lucu macam kaki temberang. Tidak terlalu rajin tetapi bukan terlalu malas. Semestinya beriman kepada Allah Taala. Pokoknya, seimbang dalam pelbagai aspek.

Mungkinkah anda dapat bertemu orang yang seperti itu di dunia fana ini? Tidak terlalu ideal. Tetapi baik dan berkualiti dalam konteks moral, mentaliti, daya berfikir dan mungkin juga ilmu pengetahuan. Tidak sombong dengan pemilikan, status quo, jawatan, kuasa atau hartabendanya. Tidak pernah takkabur dengan keilmuannya. Watak yang betul-betul berpijak di bumi. Berani dan sanggup berhadapan dengan mata pedang atau di hujung senapang.
Bagaimana? Setuju?

Wednesday, October 13, 2010

CERITA BASI SEORANG PERANTAU 1

Entahlah.

Mungkin sudah suratan. Sejak kecil aku sudah terperangkap dalam belenggu perantauan yg serba kubenci tapi tak kuhindari. Sejak umur 5 atau 6 tahun aku sudah diheret utk duduk bersama arwah Tok Cik (nenek saudara) yang menyewa bilik di Jalan Hassan, Segamat. Dan aku kekal bersama beliau hingga penghujung darjah 4 gara-gara ibu mahu aku masuk bersekolah Inggeris. Ketika itu sekolah aliran Inggeris hanya terdapat di bandar Segamat. Sekolah Rendah Inggeris Segamat jadi sekolah pertamaku.

Sewaktu di darjah 5, aku tinggal bersama Tok Arah (nenek sebelah ibu) di Kampong Tasek, Gemereh, Segamat. Suasananya hampir sedaif kampong asalku jugak. Tiada air paip, bekalan letrik, jalan yang tak sempurna. Mungkin kampong asalku lebih "advance", sebab masih dekat dgn stesen keretapi, ada pejabat pos, balai polis, sekolah rendah, sebatang sungai yang bersih airnya dan ada panggong wayang untuk menonton filem-filem hindustan, Shaw Brothers, Cathay Keris, hollywood, Hong Kong.

Sementara itu, abangku (Abang Sah) yang pada awalnya tinggal sama di Jalan Hassan telah lulus SRP dan menyambung ke Tingkatan 4 aliran sains di Sekolah Menengah, Sedeng (sekarang Sekolah Menengah Datuk Bentara Dalam). Beliau memilih untuk tinggal di asrama sekolah tersebut walaupun cerita tersebar bahawa terdapat banyak kubur askar Jepun disitu... Kes histeria dan kejadian-kejadian misteri ada dilaporkan.

Di Kampong Tasek, aku (berserta arwah Tok Arah dan suaminya Tok Ahee berserta 4 orang pakcik yang umurnya tidak berapa jauh dari umurku) bergantung hidup pada pelita minyak tanah, lilin, air perigi, air sawah, dapur kayu, bumbung separuh zink separuh atap rembia. Di hujung minggu kami ke paya mencari ikan, kijeng, lokan, siput hitam atau ke belukar mencari pucuk paku, pucuk ubi. Tidak lupa kamu mencari kayu untuk bahanapi memasak. Tiada dapur minyak tanah. Jauh sekali dapur gas. Suatu kehidupan yang terlalu ringkas dan banyak bergantung pada apa yang ada didepan, belakang atau halaman rumah. Ubi rebus cicah sambal tumis atau nasi putih lawan ikan sembilang masak asam adalah menu rasmi kami.

Ketika di Jalan Hassan dahulu, aku (bersama arwah Tok Cik, arwah kak Ros, abang Sah dan sepupuku, Rahmat) sempat menumpang selama hampir 3 tahun di rumah Makcik Timah/Mohd Durin (orang Minangkabau) yg ada bekalan air paip dan lektrik. Rahmat berpindah sekolah di Labis sewaktu kami di darjah 4. Tapi abang sulungku (bernama Ali) cepat tampil mengisi kekosong itu. Beliau berpindah dari sekolah agama di Chaah ke sekolah Arab di Kampong Gubah, Segamat. Waktu itu, aku masih di darjah 3.

Aku sekali lagi dipindahkan bila naik darjah 6. Kali ini aku tinggal bersama arwah Atok Teh di Kampong Batu Badak, Segamat. Rumah itu ada air paip, bekalan letrik. Tetapi terlalu sepi kerana Atok Teh hanya sendirian. Mujur ada abangku yg bernama Ali tadi. Beliau berbasikal sejauh lebih 10-12 batu ke sekolahnya di Gubah tiap-tiap hari. Beliau kekal bersekolah di situ sewaktu aku berpindah sekolah ke Labis.

Akhirnya ibuku mengambil keputusan untuk membawa aku balik ke kampong dan bersekolah di Sekolah Rendah Inggeris Labis. Akulah insan yang paling gembira dalam dunia apabila keputusan itu dibuat. Sekolah ini lebih kecil berbanding sekolahku yang di Segamat. Namun, itu tidak menjadi soal sekarang. Yang penting, aku akhirnya dapat kembali hidup dalam keluargaku sendiri.

Disebalik kegembiraan dapat berkumpul kembali dengan adik-beradik yang selama ini cuma dapatku mesrai sewaktu cuti penggal persekolahan, aku terpaksa belajar bangun jam 5 pagi tiap-tiap hari. Tentukan aku sudah tercegat ditepi jalan sebelum jam 6.15 pagi jika mahu selamat! Sekolah di Labis hanya 15 batu dari kampongku. Tetapi bas sewaanku akan terlebih dahulu menurunkan penumpang di pekan Chaah sebelum meluncur cepat ke pekan Labis.
Sebab itu bas ini tidak bertoleransi pada penumpang yang gagal terpacak ditepi jalan menanti pada waktunya! Dan, untuk menambahkan stres disubuh hari, aku terpaksa mandi di sungai (yang jaraknya lebih-kurang 400 meter dari rumahku) yang belum pasti cukup selamat (dari anakonda mini atau buaya katak!) Yang pasti, aku akan lari lintang-pukang didalam gelap belukar untuk cepat-cepat sampai rumah. Tak sanggup aku berendam lama-lama dalam sungai yang serba gelap dan "mengerikan" itu! Mana tahu kalau benar-benar ada buaya sedang ternganga di tengah-tengah sungai itu?

Beginilah keadaannya sejak penggal kedua darjah 6 hinggalah aku selesai tingkatan 5. Pun begitu, aku sempat tinggal di asrama sebelum duduki peperiksaan MCE - iaitu mulai bulan Ogos hingga November. Sempatlah aku menikmati "glamor" serta orientasi ringkas di hostel. Aku tak berapa kisah. Yang aku paling kisah, imaginasi tentang mulut buaya atau anakonda tidak lagi menghantuiku di pagi-pagi buta itu.

Aku menghabiskan pelajaran menengahku di Sekolah Munshi Ibrahim, Labis dalam aliran Inggeris. Selepas mendapat gred dua dalam peperiksaan MCE, aku melanjutkan pelajaran tingkatan enam di Sekolah Tinggi Segamat (STS) hingga selesai peperiksaan HSC (sekarang STPM). Sepanjang bersekolah di Segamat, aku tinggal di hostel (selepas itu dijadikan Pejabat Pendidikan Daerah sebelum ditukar menjadi Pusat Kegiatan Guru) yang terletak berdekatan Buloh Kasap. Mulanya aku berjalankaki ke STS. Selepas beroleh biasiswa kecil (khas untuk pelajar tingkatan 6 bumiputera pada ketika itu - sebanyak RM25 sebulan), aku membeli basikal jenama Raleigh. Barulah lega sedikit - lantaran jarak ke STS ialah lebihkurang 8 km. Cukup jauh untuk menghasilkan peluh masam di ketiak!

Akhirnya, bila dikira jumlah sebenar aku hidup bersama orangtua dan adik-beradikku serta dibelai oleh kasih-sayang yang langsung dari mereka, aku cuma menikmati tidak sampai 12 tahun (selepas mengambilkira faktor umur sewaktu menceburi alam ketenteraan - pada usia 21 tahun). Bila aku memasuki dunia ketenteraan, aku jadi perantau sepenuh masa.

Sehingga nota ini ditulis, aku masih mengekalkan statusku sebagai seorang perantau, walaupun pada hakikatnya aku "benci" untuk terus merantau...