Thursday, April 14, 2011

13 MEI 1969

KISAH BERMULA. Ketika itu aku bersekolah di Segamat dan masih menumpang (di rumah Makcik Timah) di Jalan Hassan. Semua orang tahu (dan PERLU AMBIL TAHU jika belum tahu) apa itu 13 Mei 1969. Ia bukan suatu tarikh keramat. Sebaliknya ia merupakan tarikh dimana negara ini hampir-hampir kiamat gara-gara krisis perkauman yang agak melampaui batas. Dan pemerintah terpaksa mengistiharkan dharurat seluruh negara untuk menangani bencana ini. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah diwujudkan dan dipengerusikan oleh Tun Razak untuk mengatur strategi bagi merungkai permasalahan dan isu perkauman di negara ini.

Antara strategi-strategi serta-merta dalam konteks perundangan ialah penguatkuasaan dan penyemakan Akta Hasutan 1948, penguatkuasaan Akta Mesin Cetak 1948, Akta Ketenteraman Awan 1958, Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959, Akta dan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) diikuti dengan penggubalan Akta Senjata Api 1971, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Banyak lagi akta-akta yang dibabitkan dalam konteks ini. Mungkin inilah pertamakali pemerintah terpaksa membongkar sebanyak mungkin akta-akta yang selama ini menjadi makanan lipas dan cacing buku disamping merangka rang undang-undang baru untuk memastikan tragedi buruk ini tidak berulang lagi.

Itu dalam konteks perundangan. Pemerintah juga terpaksa mencipta banyak lagi strategi demi memulihkan kepercayaan masyarakat terhadap keupayaan gabungan partai Perikatan mentadbir negara. Dalam konteks politik, seingat aku, Perikatan (simbol Kapal Layar) telah ditukar kepada Barisan Nasional (simbol dacing) dengan menyerapkan partai-partai pembangkang terkuat termasuk PAS, Gerakan, SUPP dan banyak lagi.

Ini mungkin taktik Tun Razak untuk meraih kembali pengaruh (dalam menyelesaikan krisis politik serta kegagalan Perikatan mendapat majoriti di Parlimen). Jika tidak, Perikatan akan kehilangan mandat penuh untuk memerintah negara ini. Jika keadaan dibiarkan meruncing (dan jika ditakdirkan Gerakan, PAS dan partai-partai lain tidak berminat menganggotai BN), BN tidak akan pernah wujud. Disamping itu, Perikatan mungkin tiada pilihan melainkan menubuhkan "kerajaan campuran" dengan pembangkang. Jika ini terjadi, senario dan lanskap politik negara mungkin tidak sebagaimana hari ini.

Dalam konteks keselamatan dalam negara, Angkatan Tentera dan Polis cuba dipermoden dan diperlengkapkan bagi memperhebatkan penghapusaan pengganas Partai Komunis Malaya (PKM). Militia PKM masih lagi bergiat aktif dikawasan-kawasan pedalam, banjaran Titiwangsa, hutan-hutan di sekitar hulu Perak, Pahang, Kelantan dan sempadan Siam. "Leaflet-leaflet" propaganda Marxis-Leninist dan Maoist masih lagi tersebar di Bentong, Batangkali, Ulu Yam, Ulu Kinta, Gopeng, Bukit Berapit dan Gua Musang. Di Bukit Kayu Hitam, Operasi Dhoyai-Musnah (operasi bersama tentera Malaysia-Thailand) terus diperhebatkan untuk memusnahkan anasir pengganas yang bersembunyi di kawasan sempadan. Sintok (lokasi UUM hari ini) menjadi pengkalan hadapan bagi tentera Malaysia beroperasi.

Dalam aspek sosial, MAGERAN dengan segera menjana pelbagai idea. RUKUNEGARA telah dirangka dan lagu MUHIBBAH telah dicipta dan dinyanyikan disekolah-sekolah. Aku masih ingat bagaimana melodi lagu tersebut (kerana kami diwajibkan menyanyikannya ditiap-tiap kali perhimpunan. Pertandingan RUKUNEGARA antara sekolah-sekolah turut dilaksanakan. Masih jelas dalam fikiranku bagaimana Rohaizat (sepupuku) yang mewakili sekolahnya (dikampongku) turut serta dalam pertandingan itu. Tapi beliau tewas (mungkin kerana anak kurang bersemangat sewaktu mengikrarkan RUKUNEGARA). Sebenarnya banyak lagi gimik-gimik yang telah dicipta oleh pemerintah dalam memulihkan kembali perpaduan kaum. Terlalu panjang. Akupun bukan boleh ingat semuanya!





































(Antara rangkuman-rangkuman peristiwa 13 Mei 1969 di kota-kota besar negara).

Hatta, diringkaskan riwayat, biarlah aku ceritakan apa yang terjadi sebelum tragedi berdarah itu tercetus. Waktu itu kempen pilihanraya umum sedang hebat berjalan. Musa Hitam (sekarang Tun..) adalah calon Parti Perikatan (sekarang BN) bagi Parlimen Segamat. Selain Musa, ramai lagi tokoh-tokoh lain yang turut berkempen. Antaranya, calon PAS, DAP dan Gerakan (waktu itu Gerakan merupakan parti pembangkang).

Sebelum meneruskan wacana, aku ingin berkongsi pandangan. Biarlah aku berterus-terang sahaja. Pada pendapatku, 13 Mei 1969 lebih merupakan suatu "wake-up call" bagi pemerintah dan masyarakat negara ini. Tidak kiralah siapapun yang naik memerintah, parti mana yang naik "takhta" atau bangsa apa yang sedang menyarung jersi "kuasa" politik negara. Yang penting, mereka kena faham bahawa negara ini ada bangsa yang jadi pemilik asal atau pemilik mutlaknya - iaitu BANGSA MELAYU. Bangsa Melayu (termasuklah semua jenis dan spesis MELAYU) adalah BUMIPUTRA bagi Tanah Melayu dan wilayahnya. Mahu tidak mahu, suka atau benci, MELAYU adalah TUAN TANAH kepada negara ini. Oleh bangsa-bangsa yang selain dari itu hendaklah belajar untuk menghormati TUAN RUMAH. Bak kata perpatah lama: adat berkampong di tempat orang, hukum kanun hendaklah dijunjung. Jangan sampai kaduk naik junjung. Jangan sampai telunjuk menjolok mata! Itu tidak beradab atau BIADAB namanya!

Oleh itu ada batas-batas yang harus dipatuhi atau dihormati oleh bangsa-bangsa lain keatas BANGSA MELAYU. Bangsa-bangsa lain, mereka telahpun memiliki tanahair masing-masing. Cina, India, Serani, Ceylon, Punjabi, Portugis dan bangsa-bangsa diasfora lain - semuanya ada tanah asalusul nenekmoyang mereka sendiri. Mereka boleh balik ke kampong halaman masing-masing sekiranya tidak mampu lagi bersumpah-setia dan tunduk kepada "ketuanan Melayu". Mereka berhak melakukan demikian dan tiada siapa akan melarang. Itu adalah lebih mulia dan terhormat dari memikirkan bagaimana caranya untuk "memiliknegarakan" negara ini dari bangsa Melayu sebagaimana yang telah dilakukan oleh regim Lee Kwan Yew. Sikap dan pemikiran yahudi-zionis seperti itu hendaklah diketepikan jika mereka ingin terus menjadi warganegara berasaskan "jus-soli".

Bangsa bukan Melayu adalah kaum pendatang. Mereka patut berterimakasih kerana kesudian bangsa Melayu menganugerahkan "jus-soli" buat mereka. Memberikan mereka ruang yang cukup luas untuk bertapak (hingga berharta, kaya-raya, berpengaruh, berkuasa dan mendominasi sektor ekonomi negara ini). Jika Melayu memberikan "jus limau", "jus mangga" atau "jus nenas", mungkin sudah lama mereka lesap dari mukabumi negara ini. Oleh itu, disebabkan memiliki sebahagian dari kuasa politik negara, mereka mudah lupa daratan. Mereka cepat bersikap angkuh dan takkabur. Mereka berani bangun menderhaka dari tunduk patuh pada "tuan tanah" yang serba miskin dan hidup terhimpit bagai pengemis jalanan.

13 Mei 1969 bukan sekadar sejarah silam. Tetapi ia mengandungi rahsia yang cukup mendalam dan bermakna. Rahsia yang perlu didalami dan dihayati oleh setiap generasi yang telah lahir atau bakal dilahirkan selagi negara ini wujud sebagai wilayah merdeka. Generasi yang telah berpeluang menyaksikan peristiwa ini cukup faham erti yang tersirat. Tetapi generasi yang tidak pernah berpeluang menyaksikannya akan terus tersisih dari memikirkan "hikmah"nya. Sebagai suatu bangsa yang merdeka, kita seharusnya cuba menilai semula hakikat kita sebagai sebuah negara.

Kita bukan lahir sebagai sebuah negara bermasyarakat majmuk. Sebaliknya ia telah diatur rapi oleh para penjajah terdahulu untuk memastikan agar negara ini tidak akan stabil apabila "dimerdekakan". Mereka sempat menanam benih-benih kehancuran dengan pelbagai taktik. Mereka membawa masuk orang-orang dari selatan Cina untuk bekerja di lombong-lombong bijih. Orang-orang India selatan diangkut secara pukal untuk menjadi kuli diladang-ladang getah atau membina jalan-jalan keretapi. Orang-orang Punjab diupah untuk menjadi askar bagi mengawal aset-aset serta kepentingan mereka. Walhal mereka tahu bahawa Tanah Melayu bukan kekurangan orang untuk diambil bekerja. Mereka sengaja melakukan ini agar Melayu tidak akan berupaya memonopoli kuasa politik dan sosioekonomi dalam negara ini.

Akhirnya mereka berjaya merealisasikan matlamat mereka itu. "Perlembagaan Kemerdekaan" digubal dengan penuh strategik. Antara syarat utamanya, kerakyatan "jus-soli" perlu diberi dan UMNO, MCA dan MIC hendaklah bersetuju dan bergabung menubuhkan kerajaan. Jika tidak, Tanah Melayu tidak akan dimerdekakan (?) Tanah Melayu pun "dimerdekakan" dalam keadaan yang penuh teka-teki.

Ini dapat dibuktikan apabila konflik kaum tercetus pada 13 Mei 1969. Sebenarnya ia telahpun bermula lebih awal dari itu. 13 Mei 1969 adalah pelengkap pada konflik tersebut. Jika Sungai Gombak dan Sungai Kelang dapat bersuara, mungkin kita akan terkejut entah berapa banyak bangkai-bangkai manusia yang dicampakkan kedalam sungai-sungai tersebut. Sukar untuk didokumentasikan lantaran kebanyakan saksi-saksi atau orang-orang yang terbabit telah terlalu tua untuk memerihalkan perbuatan mereka dan peristiwa-peristiwa yang telah dilalui. Mungkin ada yang sudah mati untuk sempat bercerita kepada anak-cucunya. Berapa ramai orang yang mereka bunuh? Dan mengapa mereka tiba-tiba jadi pembunuh - adalah terlalu sukar untuk dijawab. Ini krisis kaum. Satu dunia sudah tahu (betapa celakanya krisis perkauman).

Sebagai seorang budak kampong yang kurang memahami hujung-pangkal tragedi pada ketika itu, aku sekadar tahu dan cuba memahami konflik tersebut dari kacamata seorang budak sekolah rendah yang terlalu mentah dalam hal kenegaraan dan politik. Aku setakat merangkumkam apa yang dilihat, didengar dan dibaca sendiri. Selebihnya, aku mendapat maklumat dari "penganalisis-penganalisis politik warung kopi" yang tidak cukup otoritatif dan terjamin kesahannya. Maklumat juga muncul dalam bentuk yang agak bercelaru. Al-maklumlah, pada ketika itu kadar indeks butahuruf dikalangan rakyat memang tinggi. Di Kampong Tasek-Alai contohnya, aku lihat ramai rakan sebaya yang tidak kisah bersekolah. Tidaklah diketahui: samaada mereka sengaja ponteng atau memang orangtua mereka tidak ambil kisah tentang aspek pendidikan anak-anak!

Apabila berada di sekolah menengah, aku difahamkan bahawa punca tragedi 13 Mei ialah pengaruh Parti Komunis Malaya (PKM) yang pada ketika itu masih bergiat aktif di negara ini. Selain tindakan militer di pinggir-pinggir hutan dan kawasan pergunungan, mereka juga giat menyebarkan propaganda dan dakyah melalui helaian-helaian (leaflets). Aku sempat mencuri maklumat-maklumat ini dari suratkabar atau corong-corong radio. Seawal tingkatan 1 dan 2 aku sudah "kenal" siapa Rashid Maidin, Chin Peng dan ramai lagi pemuka-pemuka PKM. Aku juga terdedah dengan maklumat bahawa telah terjadi perpecahan dalam PKM apabila terdapat dua mazhab yang saling bersaing antara satu sama lain: kumpulan Marxis-Leninis dan gerombolan Maoist (Mao Tse Tung). Ini dibuktikan oleh propaganda-propaganda yang mereka sebarkan.

(Peta Modes Operandi Militia PKM disekitar tahun 1960an hingga akhir 80an)


(Inilah antara naskah-naskah yang sempat juga aku tatap di bangku sekolah dahulu. Naskah-naskah ini telah memerihalkan secara umum apa yang berlaku disebalik tabir 13 Mei 1969.)


Aku tidak pasti samaada hari ini masyarakat masih menghargai sejarah ini. Generasi muda terutamanya semakin buta terhadap fakta ini. Bagi mereka, 13 Mei 1969 sekadar isu perkauman yang terpinggir dan samasekali tidak signifikan untuk difikirkan. Bagi mereka, isu-isu utama ialah peluang pekerjaan, peluang bisnes, peluang meraih untung maksimum dan peluang menjadi selebriti tak rasmi. Lantas menyerahkannya bulat-bulat ke tangan politikus-politikus untuk merungkainya. Sedarkah mereka bahawa tindakan menyerahkan beban tanggungjawab kepada segolongan orang yang hanya pandai beropera (daripada menyelesaikan permasaalahan negara) adalah sesuatu yang cukup tidak bertanggungjawab? Apalah salahnya kalau mereka cuba memikirkan dan menjadikannya sebagai iktibar untuk masa hadapan agama, bangsa dan negara?

Dalam pada itu, ada juga suara-suara sumbang yang menghujahkan bahawa 13 Mei 1969 merupakan "Teori Konspirasi" garapan Tun Razak pada menumbangkan rejim Tunku Abdul Rahman dan mewujudkan dasar-dasar baru yang lebih memberi keuntungan kepada kaum peribumi. Suara-suara sumbang yang diterajui oleh golongan kiri ini cuma mempersoalkan dasar-dasar sosial dan dasar-dasar pembangunan Tun Razak yang lebih condong kepada sosialisme (bukan komunisme!) serta kawalan pusat (sentralisasi) yang bercanggah dengan kapitalisme atau ekonomi bebas. Pada akhirnya, mereka perlu akur bahawa dasar-dasar Tun Razak lebih nasionalistik berbanding Tunku Abdul Rahman dan rejim-rejim terkemudian. Ini kerana, sewaktu pemerintahan beliaulah banyak tercetus idea-idea pembangunan dan perpaduan sosial yang diterimapakai oleh pemerintah-pemerintah sesudah beliau. DPN (contohnya), dicetuskan oleh DEB. Akta Petroleum 1974 (misalnya) bertanggungjawab melahirkan PETRONAS.

Jelaslah bahawa pemikiran-pemikiran pembangunan Tun Razak amat luarbiasa dan cukup patriotik sifatnya. Jadi, bagaimana orang sanggup menuduh Tun sebagai seorang konspirator politik? Dan, apa yang telah diadaptasikan oleh beliau sepanjang hayat kepimpinannya itu (untuk negarabangsa Malaysia ini) adalah sukar untuk dinikmati  lagi oleh rakyat negara ini dalam jangkawaktu yang panjang. Ini kerana kualiti politikus-politikus yang muncul pada hari ini terlalu jauh darjatnya berbanding beliau. Umumnya, politikus-politikus hari ini cukup opportunistik dan terlalu meminggirkan aspek moral. Mereka mensasarkan kepentingan peribadi sebagai asas perjuangan politik masing-masing.

Politikus-politikus kontemporari. Matlamat akhir mereka ialah monopoli kuasa dan materialisme. Korupsi merupakan kaedah atau prosedur biasa untuk merebut kuasa dan mempertahankan pengaruh masing-masing. Fitnah, prasangka, sabotaj dan sentimen perkauman adalah pelengkap kepada semua itu. Umumnya, dibawah pra-sedar, mereka cuba menyuburkan kembali bibit-bibit perpecahan dalam masyarakat yang sudah tersedia "fragile" (mudah pecah dan ranap) ini.
Demikianlah secebis kisah tentang 13 Mei 1969. Ws.

TERCAMPAK DARI PREBET SAPU

INI KISAH BENAR. BUKAN SAJA NAK KELENTONG! UNTUK PANDUAN DAN SEMPADAN KEPADA MEREKA YANG BERMINAT UNTUK HIDUP LEBIH LAMA. TERUTAMANYA GOLONGAN BAWAH UMUR.

Kisah ini terjadi pada hari pertama persekolahan sewaktu aku di darjah 5. Hari itu keadaannya agak kelam-kabut sedikit. Maklumlah, aku baru sahaja berpindah dari rumah sewa di Jalan Hassan, Segamat ke rumah nenek di Kampong Tasek-Alai. Dahulu tinggal dengan Atok Cik. Sekarang tinggal dengan Atok Arah dan suaminya Atok Ahee. Jadi, perlukan penyesuaian. Dulu mandi air paip. Kini mandi air perigi. Tahun lepas naik van sekolah. Hari ini naik kereta sapu yang dijadikan kereta sewaan untuk ke sekolah. Maklumlah, di zaman itu Kampong Tasek ketiadaan bas. Tapi jangan terkejut. Malah sehingga kini pun kampong itu masih juga ketiadaan pengangkutan awam.

Dipendekkan cerita, jam sudah pukul 11 pagi. Itu waktu dharurat, yakni memang waktu untuk aku meninggalkan rumah dan menuju ke tempat menunggu kereta. Jam 11.15 sebentar nanti kereta sewa akan sampai untuk mengambilku. Memandangkan ini hari pertama persekolahan, maka segalanya perlu pantas, licin, sempurna, cantik dan serba baru. Baju baru. Seluar baru. Stokin baru. Kasut pun baru. Jadi, semangat pun baru! Tetapi "mood" boleh berubah dengan sekelip mata. "Semangat" boleh terbenam tanpa terduga. Itulah yang terjadi pada hari ini.

Aku kepanikan bila terlihat sebuah "kereta sapu" yang agak separuh umur tiba-tiba singgah untuk mengambilku. Desingan injinnya bagaikan laungan sekawan beruk liar yang akan dilapah hidup-hidup. "Cukup syarat" untuk menggoncang semangatku yang pada asalnya kental, cukup berkobar-kobar. Kini semangat itu bertukar kepada "berkubur-kubur"..(?) Lihatlah wahai dunia, kereta "prebet sapu" darjat ke berapa yang disajikan untuk aku ke sekolah pada pagi ini?

Tapi aku perlu terima hakikat. Hari ini aku terpaksa menaiki kereta prebet sapu yang sudahpun sendat bagai tin sardin. Biasanya aku menaiki bas mini atau van untuk ke sekolah. Pernah juga menaiki prebet sapu milik seorang India (sewaktu di darjah 1). Tapi tidaklah sepadat ini. Ini belum lagi menyentuh soal bau hangit, hancing dan seribu-satu macam bau yang terpaksa ditanggung oleh batang hidungku sepanjang perjalanan kereta ke sekolah. Sementelah, apabila tiba ke pintu bilik darjahku nanti, aku pun akan berbau seperti itu jugak..(gara-gara kebacinan dan kehancingan orang lain..!). Ini yang aku tidak boleh terima!

Akhirnya aku dapat juga masuk ke dalam kereta sendat itu selepas berhimpit-himpit dan berhempas-pulas. Aku duduk ditepi sekali, iaitu di pintu sebelah kanan (bahagian penumpang). Memang menyiksakan. Dengan saiz badan yang agak kecil, aku menjadi mangsa himpitan penumpang-penumpang yang bersaiz besar. Cukup sesak, panas berbahang. Ditambah dengan aroma yang entah bermacam-macam jenis dan "campuran". Aku pun tak ingat.

Dari Kampong Tasek, kenderaan ini akan melalui jalan Jementah-Segamat melalui Kampong Batu Badak dan Kampong Lubuk Batu, Segamat. Selepas itu kenderaan akan melalui lorong kecil antara Stesen Keretapi Segamat dan Pejabat Polis Segamat menembusi ke Stesen Bas Awam Segamat dan teruslah ke arah Buloh Kasap. Kereta itu nanti akan membelok ke kiri apabila sampai ke simpang Kampong Tahang Rimau. Sekolah Rendah Inggeris Segamat (dimana aku bersekolah) terletak ke hadapan sedikit dari kampong tersebut dan bersebelahan dengan Sekolah Menengah Sig Hua, Segamat.

Waktu itu aku terlalu naif. Kalau hari ini mungkin aku akan kata ini kerja gila. Apa akan jadi kalau berlaku tabrakan? Berapa ramai yang akan "mampooos"? Pakkal aku masih kecil. Jadi, bertahan sahajalah. Apa saja tindihan dan himpitan, aku tanggunglah.. Apa sahaja angin yang dilepaskan, sedut sajalah.. Apa lagi yang boleh aku buat? Kalau diturutkan hati, mahu saja aku memekik bagai Sang Kelembai...! Memang aku geram habis..!

Perjalanan ke Sekolah bukanlah jauh sangat. Cuma lebih-kurang 15 batu sahaja. Memang tidak jauh (kalau diukur pada keupayaanku sekarang..). Tapi kalau dilihat pada ketimpangan sistem jalanraya serta pengangkutan awam pada waktu itu, jarak 1 batu akan menjadi sejauh 100 batu! Jadi, cuba bayangkan betapa jauhnya 15 batu itu bagi golongan yang tinggal di pedalaman yang ketiadaan sebarang kenderaan kecuali sepasang kaki?

Hari itu aku sudahpun bersiap lebih awal dan sudahpun menunggu kereta sapu sewaan itu pada jam 11 pagi lagi. Mujurlah aku di sesi petang. Kalau sesi pagi, mungkin aku dah tercegat di tepi jalan sejak seawal jam 5 pagi (?). Barangkali mungkin ditemani oleh si langsuir jalanan atau hantu jembalang yang bertebaran sebelum hari menjelang siang. Barangkali kot..? Maklumlah, hidup di pedalaman. "Tempat jin bertendang," kata orang..!

Dipendekkan cerita. Aku sudah berada dalam kereta berkenaan. Dan, kereta pun sedang bergerak laju menghala ke bandar Segamat melalui Jalan Muar. Selepas melimpasi hadapan Hospital Besar Segamat (sekarang Poliklinik Segamat), kereta akan mengambil selekoh membelok ke kiri melalui jalan belakang Balai Polis Segamat menjurus ke stesen bas awam Segamat. Selekoh tersebut tidaklah berapa tajam tetapi agak memanjang dimana kereta boleh dipandu agak laju sedikit.

Sewaktu di selekoh tersebutlah aku terhumban keluar dari kereta itu. Kejadian itu berlaku terlalu cepat. Aku tidak berapa pasti bagaimana pintu kereta boleh terbuka yang menyebabkan aku terhumban keluar. Untuk beberapa saat selanjutnya, aku kurang pasti apa telah terjadi. Yang pasti, aku tercampak, terguling-guling dan selepas itu terhenti dalam keadaan tertiarap. Dituruti oleh rasa pening dan sakit yang amat sangat dibeberapa bahagian badan. Beberapa saat selepas itu aku dapati aku sudahpun berlari menuju ke arah kereta yang sendat tadi!

Umurku memang panjang. Kalaulah ada kereta yang menuruti dibelakang atau datang dari arah bertentangan, mungkin aku sudahpun pulang ke rahmatullah pada hari itu jugak! Dan, jika ada orang bertanya, aku tidak mampu menjawab apa dan bagaimana (?) aku boleh tercampak keluar dari kereta sewa tadi. Samaada pintu kereta itu terbuka sendiri (kerana selaknya rosak atau kuncinya sudah haus dan longgar)? Atau, tangan aku ini yang gatal-gatal bermain dengan tangkai pembuka pintu? Wallahualam. Yang pasti, itulah padahnya kalau kereta terlalu sendat. Bukan sekadar boleh terhumban keluar, mungkin boleh mati lemas dek kerana tak cukup udara!

Apabila tiba di sekolah, aku terus masuk dan duduk disalah-satu kerusi kelas yang telah ditetapkan. Aku sempat mengikat luka di salahsatu siku dengan saputangan. Aku tidak mengambil masa yang panjang untuk terlelap di meja. Mungkin kesan dari insiden tadi. Walaupun luka di lutut, siku dan tangan amat pedih, namun aku tetap merasa ngantuk (!) Agaknya mungkin lebih dari setengah jam aku terlelap disitu. Yang menghairankan, aku tidak terganggu dek sesiapa. Dan, guru tidak pula memarahi (seperti kebiasaannya). Ini suatu perkara pelik (barangkali).

Bila aku tersedar, pedih pada luka-luka tadi sudah reda sedikit. Namun sakit-sakit dan sengal di bahagian-bahagian lain masih terasa. Seingat aku, sepanjang hari itu aku cuma duduk diam-diam di kerusi dan tidak banyak bergerak kerana kesakitan. Terutama disekitar lutut dan siku. Sekali-sekala aku meniup lecetan luka (kononnya) untuk meredakan rasa sakit. Aku sapukan sedikit air liur (petua orang tua-tua dahulukala) pada permukaan luka-luka yang berwarna merah pucat itu.

Lewat petang sebelum senja, aku pulang ke rumah disambut oleh Atok Ahee dengan soalan-soalan "cepu emas"... Aku tidak ingat entah apa yang kujawab. Mujurlah Atok tidak berleter panjang. Kebetulan pula ibu ada bersama pada ketika itu. Jadi, aku mendapat "back-up" yang sempurna dari ibu (dalam hal ini). Dan, aku juga mendapat "bantuan khas" dari Paksu Wahid sewaktu mandi di perigi. Beliau tolong menimba air untukku. Malam itu ibu tolong merawat luka-lukaku tadi sambil memberi "kata-kata hikmah". Demikianlah. Pada usia 11 tahun, aku sudah dilayan bagai orang-orang dewasa. Dalam banyak hal, aku perlu berdikari dalam mengurus diri dan peralatan sendiri. Demikian juga dengan luka-luka yang sedang aku alami ini. Aku perlu rawat sendiri...(!) Tapi aku "cukup bahagia" dengan keadaan ini. Kerana ia telah membentukku untuk menjadi "manusia berdikari" sejak remaja lagi.

Dipendekkan cerita. Sejak peristiwa itu, aku sentiasa berhati-hati jika menaiki kereta (sebagai penumpang). Aku tidak akan cuba mengusik tangkai pembuka pintu kereta, kecuali bila kereta sudah berhenti. Dan aku juga cuba duduk ditengah-tengah (kalau ada peluang), walaupun duduk ditepi lebih menyeronokkan. Dalam pada itu, sekali-sekala aku terfikir kembali tragedi itu dan bagaimana "teruknya" aku dipersalahkan (oleh Atok Ahee dan Pak Jiman, drebar kereta berkenaan). Sebagai pelajar darjah 5, aku bukan lagi budak kecil! Jadi, mengapa orang harus mempertikaikan keupayaan aku dan menuduh aku bermain pembuka pintu kereta?

Al-kisah, demikianlah sepintas lalu "kenangan manis" hari pertamaku sewaktu di darjah 5. Kenangan yang sukar dilupakan. Tapi tak pernah tertarik untuk aku ceritakan pada orang lain. Lantaran ia kurang menarik (?) untuk didengar. Pun begitu, ia sesuatu yang benar-benar aku alami. Ws.








INDAHNYA MUSIM BANJIR

SUATU KETIKA DAHULU aku menganggap musim banjir tidak ubah seperti acara tahunan yang didatangkan khas sekali dalam setahun. Dan bila banjir tiba, ia diibaratkan seperti waktu untuk berpesta. Masing-masing datang ke lokasi-lokasi banjir untuk bermain air. Maklumlah, bagi kami sekampong, pantai adalah terlalu jauh dari jangkauan. Jadi, banjir adalah opsyen untuk orang-orang kampong yang duduk di hulu seperti aku. Ombak dan laut merupakan suatu igauan. Dan, terpaksa berbelanja besar untuk ke sana. Demikianlah kisah "orang darat" dan "orang baruh" atau "orang laut". 

ITU ADALAH PEMIKIRANKU sewaktu kecik. Kisah orang hanyut, mati lemas atau rumah tenggelam tidak berapa kedengaran pada ketika itu. Maklumlah, media massa dizaman itu adalah terlalu mundur. Di rumah, kadangkala ada radio. Kadangkala tidak. Kadang-kadang langsung tak dapat siaran. Menonton TV jauh sekali. Sebab, hanya "orang kaya" sahaja yang mampu membeli TV. Suratkabar? Jarang membacanya lantaran jarang dibeli ayah. Jadi, kalau ada kampong atau bandar yang tenggelam, itu kami tidak tahu. Kecuali kalau banjir berlaku didepan mata. Dan, itu boleh dikatakan agak kerap terjadi.

Bercakap soal banjir, banjir di bandar dan di kampong memiliki dimensi yang agak berbeza. Itu menurut apa yang aku lihat pada ketika itu. Sepanjang bersekolah rendah di Segamat, memang ada beberapa kejadian besar yang aku lihat dengan matakepala sendiri. Sewaktu di darjah 2, hujan lebat di hulu telah menyebabkan petempatan Jalan Hassan dan kawasan tapak hospital besar Segamat (yang asal) ditenggelami air. Jambatan keretapi yang merentangi Sungai Segamat juga hampir tenggelam. Banjir besar itu menjadi bahan bualan kami di sekolah. Aku tak sempat bermain banjir kerana airnya terlalu kotor. Terdapat kandang ternakan babi di hulu sungai itu (ini memang dalam pengetahuan aku sebab aku agak rajin meranduk ke hulu sungai untuk memancing ikan). Walaupun masih kecil, tapi aku sudah kenal erti najis mughalazah.

Sewaktu di darjah 5, sekali lagi banjir besar melanda. Kali ini aku tinggal di Kampong Tasek. Masih tergambar jelas bila suatu pagi Paksu Wahid mengajak aku melihat banjir. Keseluruhan kawasan sawah di kampong itu seperti bertukar menjadi lautan dengan air yang berwarna lumpur. Untuk beberapa hari aku tidak ke sekolah kerana jalan kampong ditutup. Sebagai opsyen, kami pergi bermain air. Sempat juga berenang ke Batu 5, tempat Makngah Salmah tinggal. Memang ganjil kehidupan waktu itu. Air banjir jadi tempat berlibur dan berlipur?

Memandangkan banjir masih "tinggi", Atuk Ahee tidak menoreh getah. Tapi, usaha untuk mencari duit perlu berjalan terus. Jika tidak, pasti ada yang kebuluran. Jadi, beliau (ditemani Pakcik Haris) telah manjalankan aktiviti memasang lukah di kawasan sawah yang masih tenggelam. Terkadang mereka terpaksa berkayuh (perahu) ke hulu hingga melepasi Tanjung Sengkawang dan Kampong Gudang Garam. Memang amat jauh! Tetapi, adat hidup di kampong dan menjalankan "kerja kampong", Atuk tiada banyak pilihan. Keluar pagi, nanti sebelum zohor baru balik. Mereka melukah ikan "keli limbat".





Menurut Atuk, keli jenis ini berkualiti tinggi. Ia jenis liar dan jarang ditemui. Cuma hidup di hulu sungai. Warnanya hitam kekuningan dan agak berbintik. Rupanya memang agak signifikan dan berbeza dari keli biasa (aku tidak pasti samaada spesis ini masih wujud lagi atau sudah pupus sekarang). Sebelum asar, apek Cina si peraih ikan akan muncul untuk memborong ikan-ikan tersebut. Biasanya Atuk akan "menolak" (disini maksudnya memborong) dengan harga yang sesuai. Beliau jarang memborong sesuatu (samaada ikan, ayam atau durian) dengan harga yang "mencekik darah".

Sementara di Batu 5, Sungai Batang Lesung yang berdekatan dengan rumah Makngah Salmah menjanjikan kelainan. Bila air surut, dasar sungai itu (yang berlumpur) akan menjadi sarang bagi siput gondang (spesis siput besar), lokan dan kijing (berbentuk seperti kupang). Keadaan seperti itu tidak kekal lama. Jadi pada cuti minggu kami akan meranduk ke sungai itu untuk menambah rezeki yang secupak. Dapatlah juga dijadikan santapan untuk 2-3 hari. Hidup di kampong tidak perlu ke pasar kalau rajin berusaha! Di hutan ada pucuk, di air ada ikan, di pokok ada buah. Dan, di tanah ada ubi, keledek dan keladi.

Ketika di darjah 6, sekali lagi banjir besar melanda. Kali ini aku tinggal di Kampong Batu Badak. Air Sungai Segamat melimpahi sepanjang jalanraya yang merentasi kampong itu hinggakan gambarannya seakan-akan apa yang aku lihat di Kampong Tasek pada tahun terdahulu. Oleh kerana airnya dalam (dan arusnya juga agak laju), Atuk Teh tak benarkan aku merayau di kawasan banjir. Atuk Teh memang "ketat" dalam soal keselamatan. Memandangkan aku tak gemar dileteri, jadi aku patuhi kehendaknya. Bila air mulai surut, barulah aku mencuri-curi pergi memancing.

Air banjir kali ini dikabarkan telah melimpahi lebihi dari biasa. Selain jalanraya terpaksa ditutup di pelbagai lokasi, perhubungan ke Buloh Kasap dan utara juga terputus. Demikian juga perhubungan ke selatan tanahair. Jalan keretapi juga terjejas. Apabila air surut dan keadaan pulih seperti sediakala barulah aku tahu bahawa jalan-jalan ke kawasan Lubuk Batu, Tanjung Sengkawang, Kampong Berata dan Kampong Gudang Garam juga terjejas teruk. Kesan-kesan lumpur banjir masih boleh dilihat di sepanjang kiri-kanan jalanraya menuju ke Segamat terutamanya di kawasan-kawasan yang agak rendah. Namun begitu, yang pasti, tidak pula aku terdengar kisah orang mati akibat banjir!

Tetapi hari ini keadaan jauh berbeza berbanding dahulu. Hutan belukar sudah banyak yang bertukar menjadi kawasan perumahan, perkilangan dan macam-macam lagi. Urbanisasi telah mengubah ekosistem dan lanskap kawasan-kawasan ini yang menjanjikan banjir kilat dan banjir-banjir besar yang mengerikan. Aku tak dapat bayangkan bila abangku Razak menceritakan kemusnahan-kemusnahan yang berlaku akibat banjir di sepanjang dekad pertama milenium ini. Jambatan Sungai Segamat tenggelam sepenuhnya. Jalan keretapi terjejas habis dan perlu dibaiki. Bangunan-bangunan dan petempatan-petempatan di sepanjang Sungai Segamat tenggelam. Kampong Jawa, sebahagian FELDA Kemelah, Kampong Jalan Pemuda dan banyak lagi petempatan-petempatan lain turut ditenggelamkan. Banyak harta awam musnah. Nyawa pun ada yang melayang.

Ini tidak berlaku sewaktu aku masih bersekolah dulu. Senario banjir hari ini (samaada banjir kilat atau banjir besar) lazimnya berpotensi untuk berakhir dengan cerita trajis dan traumatik. Sebagai contoh mudah, banjir kilat di bandar Kelang masih termaktub jelas dalam kenangan. Kereta aku hampir dibenamkan oleh air hujan yang melimpah akibat longkang tersumbat (agaknya). Mujurlah aku cepat bertindak. Dan, selepas itu akupun berkata: Lain kali jangan "gatal-gatal" datang ke bandar Kelang! Tapi, apa kurangnya Kuala Lumpur? Atau Penang? Atau Johor Bharu? Atau Ipoh? Banjir hari ini sudah tidak mengenal waktu mahupun tempat!

Jadi, bagaimana boleh dikatakan musim banjir merupakan musim yang indah? Aku pernah beberapa kali berkesempatan berada di kampong sendiri sewaktu banjir melanda. Waktu itu kami (masyarakat setempat) tidak menggunakan istilah "banjir". Sebaliknya kami gunakan istilah "air naik" (maksudnya air sungai dekat rumah kami sudah melebihi paras selamat dan melimpah sampai ke tebing dan melanda kawasan-kawasan lain) atau "air bah". "Banjir" adalah istilah baru. Malahan bidalan dahulukala juga menggunakan perkataan "bah", bukan "banjir": Sekali air bah, sekali pantai berubah.. Pun begitu, maknanya tetap sama. Mungkin istilah "bah" sudah ketinggalan zaman berbanding "banjir" (agaknya).

Berbalik kepada pengalaman menghadapi "bah" di kampong sendiri. Ianya suatu suasana yang cukup berbeza. Mana tidaknya, isu utama kami (pada ketika itu) ialah isu buaya yang mudik ke hulu sewaktu musim banjir. Ini perkara sensitif. Tiada siapa pun yang sudi ditelan buaya. Tetapi, kisah ini akan menjadi "top" bila banjir tiba. Pun begitu, "berita ngeri" ini belum cukup untuk menghindarkan kami dari menjadi "buaya tanpa kaki dua tanpa ekor" dalam air banjir berkenaan.

Mungkin seronok untuk dikongsikan berhubung musim banjir sewaktu di kampong dahulu. Rumah ayah akan menjadi "stor khas" penyimpanan stok makanan catuan bagi mangsa banjir di kampong kami. Yang masih aku ingati: catuan berbentuk susu tin, gula (dalam karung), tepong, beras. Biasanya pihak kerajaan akan menghantar lori catuan ke rumah kami dan ayah akan mengagih-agihkan catuan tersebut kepada mangsa-mangsa terbabit. Lazimnya ada banyak lebihan (setelah agihan dilaksanakan). Itulah yang paling menyeronokkan! Untuk seminggu-dua, kami tidak perlu untuk memikirkan tentang bahan-bahan asas tersebut...!

Hari ini kabaran mengenai banjir menjanjikan kengerian dan kepiluan. Dan, tidak mengikut musim. Paling tidak, tentu ada "wakil" (yang terdiri dari lembu, kambing dan ayam) yang bakal dihanyutkan air. Bagi sesetengah kawasan perumahan (yang dibina di kawasan-kawasan rendah, bekas-bekas bendang padi, berdekatan sungai atau paya), banjir adalah fenomena yang ditanggung sepanjang hayat. Lantaran itu, berhati-hatilah jika membeli/membina rumah. Jangan sampai kita menyesal seumur hidup. 

Hari ini musim banjir tidak lagi seindah waktu kecilku dulu. Segala-galanya terlalu jauh berbeza. Tiada sebarang kecantikan disebalik banjir-banjir kilat, banjir besar atau tempias tsunami yang datang melanda. Semuanya itu menjanjikan kemusnahan yang tidak tercatatkan. Ayah dan ibu pun sudah lama tiada. Rumah ayah yang asal dahulu (yang menjadi fokus kehidupan kami adik-beradik) pun sudah lama ranap. Yang tinggal hanyalah cebisan kenang-kenangan yang semakin hari semakin pudar dari ingatanku. Ia akan lenyap sepenuhnya jika tidak dicatat dimana-mana. Ws.