Monday, February 21, 2011

IKAN KERING BAKAR

SEKALI-SEKALA AKU TERINGAT kisah sewaktu masih bersekolah dahulu. Kisah sarapan ubi rebus cicah sambal belacan atau lawan ikan kering cekik leher. Atau lempeng lawan kuah semalam. Atau nasi sejuk lawan gula pasir. Atau tidak bersarapan langsung. Itu adalah asam-garam kehidupan kami adik-beradik sewaktu bersekolah dan sebelum mendapat pekerjaan tetap.

Hari ini kenangan itu menjadi satu nostalgia. Hanya bisa dibongkar apabila kami adik-beradik sekali-sekala bertemu dan berkumpul. Maka bermulalah hikayat-hikayat lama. Sedang anak-anak masing akan termangu-mangu samaada mahu percaya ataupun tidak. Siapa mahu percaya kalau bapak-bapak mereka dahulunya pernah hidup bagai orang melarat? Mereka mungkin tidak betah mendengar. Apatahlagi untuk menghadamnya kedalam sanubari masing-masing. Lantaran mereka lahir ketika kehidupan kami sudah banyak berubah dan lebih selesa berbanding dahulu.

IKAN KERING BAKAR memang sedap. Jauh lebih enak dari ikan kering yang digoreng. Hingga hari ini aku masih berpegang pada pendapat itu. Itulah antara makanan-makanan kegemaran ibu dan ayahku dulu. Selera orang kampong yang hidup dalam serba kekurangan dan serba ringkas. Dan selera seperti itu tumpah kepadaku sehingga kini. Lantaran itu aku cukup cerewet dalam soal ikan kering. Aku juga cukup memilih apabila membeli ikan kering. Tidak mahu yang keterlaluan. Dan aku juga tidak percaya kepada harga yang melampaui batas. Aku pilih ikan kering makanan golongan marhaen!

Kalau sewaktu rumah kami (rumah ayah) menggunakan dapur kayu, membakar ikan kering adalah suatu pekerjaan yang teramat mudah. Cempak saja ikan ke api. Atau selitkan dicelah-celah unggun kayu. Sebentar lagi akan tersebarlah bau wangi (atau hangit?) petanda ikan kering sudah siap untuk dihidangkan. Terlalu mudah, bukan? Ada kalanya ikan kering terbakar hangus dek terlalu lama dibakar. Namun itu bukan bermakna kami tidak akan membahamnya hingga tidak bersisa!

Hari ini aku menyuruh isteri membakar ikan kering dalam kuali leper (tentunya tanpa minyak!). Tetapi bila lama "tidak dikhutbahkan", beliau akan terlupa. Maka terpaksalah sekali-sekala aku memberi "khutbah". Apa salahnya, bukan? Sekadar berpesan-pesan... Lagipun aku pernah memberi "crash course" bagaimana kalau mahu menyiapkan hidangan ikan kering dengan cara paling mudah tetapi "berkesan"(?) Barangkali beliau sudah terlupa kaedahnya. Perlukan "refresher course" barulah boleh ingat semula. "Refresher course" diberi dalam bentuk "khutbah ringkas".....

Kini jarang benar aku berpeluang untuk menjamah "ikan kering bakar" jika makan dirumah-rumah jiran apatah lagi di gerai-gerai umum. Mungkin tradisi ini sudah terpinggir dari pemikiran masyarakat Melayu kontemporari. Kita tidak seperti bangsa Jepun dan Korea yang masih mengekalkan tradisi makan "sushi" atau "kimchi". Bangsa kita sudah terlalu taksub dengan tradisi-tradisi luaran. Hinggakan kita lupa untuk memartabatkan tradisi kita sendiri. Ramai orang sudah tidak tahu membuat kuih-muih atau masakan-masakan tradisional. Jika dibuat pun, ia tidak ubah seperti melepaskan batuk di tangga dan tidak begitu menjadi. Berkesudahan dengan membeli di kedai atau membuat tempahan pada pengusaha-pengusaha yang menghasilkannya secara "mess production" (untuk dikomersialkan di pasaran luar dan dalam). Ini tidak menghairankan. Namun, bagiku, ia cukup mengecewakan.

Nostalgia ketika di kampong dahulu amat mengesankan diriku. Sekali-sekala aku rajin "menyelongkar kembali" kisah-kisah lama ini sebagai "sempadan" dan "teladan" buat diri sendiri dan sesiapa yang sudi mendengar serta memikirkan munafaatnya. Sebagai seorang insan yang sentiasa hidup berjauhan dari kaum keluarga dan sanak-saudara, aku tiada banyak pilihan. Ingin benar aku bertemu mereka sekerap mungkin, tapi aku tidak mampu. Jarak, ruang dan waktu memisahkan kami terlalu jauh. Bebanan serta tekanan kehidupan adalah pelengkap pada segalanya ini. Maka, pilihanku hanya satu - membongkar serta meniti kembali kisah-kisah dahulu - tiap-tiap hari sebelum mata ini akulelapkan.

Ikan kering bakar
" akan merapatkan jurang fizikal antara aku dengan arwah orangtua dan adik-beradikku. Dan, "Ikan kering bakar" akan memperkukuhkan ingatan suci serta cintaku yang tidak pernah putus kepada mereka semua...!