Sunday, May 10, 2020

AKHIRNYA AKU MASUK ASKAR..!

Alkisah, maka saat-saat kritikal yg melanda telah memaksaku bekerja sebagai buruh binaan dan buruh estet. Aku perlukan dana utk terus memohon kerja tetap. Sebelum ini, banyak yg telah diusahakan termasuk menghantar pelbagai dokumen permohonan, temuduga dan lain-lain. Tak semudah itu rupanya. Dan, pengangguran adalah musuhku yg paling ketat! Banyaklah duit yg telah dileburkan. Tapi hasilnya kosong. Banyak kali aku terpaksa tumpang teduh di rumah saudara-mara terutama rumah Kak Ros (wafat - 2007)/abang Shahadan (wafat - 2005) di Buloh Kasap. Aku tidak malu2 menceriterakan fakta ini kpd semua... 

Antara jawatan2 awam yg pernah dipohon ialah kerani. Itupun gagal. Aku pernah jadi guru sandaran di sebuah kolej swasta di Segamat tapi hanya utk satu hari sahaja (aku sendiri yg tarik diri kerana 3 faktor: tidak cukup bersedia utk jawatan seberat itu; enggan menipu pelajar; enggan tipu diri-sendiri..!). Aku juga sudah dua kali gagal ke maktab perguruan. Kali ketiga - utk program guru musik di Maktab Perguruan Ilmu Khas - aku cukup optimistik. Tapi aku malas nak ke sesi temuduga kerana ia dijalankan di Johor Bharu. Aku malas naik keretapi jam 2 pagi utk ke sana! Tetapi punca sebenar kemalasan itu ialah - aku baru saja kembali dari temuduga bakal pegawai kedet Tentera Darat - yg mana aku cukup optimis boleh lolos dan akan ke Sekolah Pegawai Kedet...!

Sahibul hikayat, temuduga kedet itu dijalankan  di Pusat Latihan Askar Wataniah (kini disebut PUSWATAN) di Tambun, Ipoh Perak pada hujung tahun 1980 selama 10 hari. Sesi temuduga selama 10 hari ini adalah sesuatu yg cukup 'demanding' dan 'menyeramkan'. Apa tidaknya, dari seramai hampir 300 yg lapor temuduga, lebih separuh dihantar pulang petang itu juga - kerana GAGAL UJIAN IQ. Keesokan harinya sebahagian lagi dihantar pulang kerana kegagalan lain. Pada hari ke 9, hanya segelintir sahaja yg berjaya ke ujian akhir - iaitu TEMUDUGA TKC... Pada waktu makan sempat juga aku bersembang dikalangan kami yg hadir temuduga kedet. Rupanya, ada yg telah beberapa kali memohon pegawai kedet  dan hadir sesi temuduga sebelum ini tetapi gagal terpilih. Dan, latarbelakang mereka pun pelbagai. Antaranya, ada penari kebudayaan negara, polis, penganggur, penagih dadah dan macam-macam...

Dan, sebenarnya aku bukanlah serius sangat nak jadi askar. Terus-terang, aku memang tidak terlintas nak masuk askar. Ini kerana ASKAR bermaksud AZAB-SENGSARA-KARENA-RINGGIT....! Dalam bahasa tegak - aku terjebak! Jadi askar bagiku hanya SATU KEBETULAN semata-mata. Sebenarnya aku lebih cenderung pada perguruan yg lebih menjamin masadepan. Tapi aku mungkin telah dikaburi oleh jumlah elaun bulanan yg bakal dinikmati oleh seorang pegawai kedet - iaitu sebanyak RM450 sebulan (ini sama dgn RM2250 hari ini!) Itu adalah suatu angka yg cukup besar pada ketika itu berbanding gaji seorang guru maktab, penghulu mukim atau lulusan diploma (iaitu cuma RM295-RM325 sebulan!). Aku fikir dgn elaun sebanyak itu, kemelesetan hidup yg tertanggung selama ini dapat dilangsaikan, kononnya...! Apatahlagi gaji bulanan sebanyak RM700 (sama macam RM4000 hari ini) jika berjaya ditauliahkan nanti....??

Arakian, pada Disember 1980 aku terima surat tebal dari KEMENTAH berisikan pemberitahuan lulus temuduga, arahan lapor diri pada 1 Februari 1981 serta waren keretapi utk ke Seremban dan seterusnya ke Port Dickson. Bingkas aku buat persiapan rapi termasuk latihan fizikal awal. Al-maklumlah, manalah tahu, kalau-kalau di hari pertama melapor pun sudah kena lanyak sampai tercirit-birit? Hatta, jadi, aku perkemas kekuatan mental dan sebagainya dgn merentas desa, panjat pokok dan terjun sungai hampir setiap hari. Ayah (wafat - 2000) dan mak (wafat - 2008) memang tak kisah aku masuk kedet. Bangga pun tidak. Sebab, mereka belum tahu apa akan terjadi selanjutnya....

Sebermula, tarikh lapor diri pun sampai. Pagi-pagi lagi ayah sudah mengiringi aku ke stesen keretapi Bekok dgn basikalnya. Tapi kami cuma berjalan kaki sahaja dan di karier basikal itu sudah aku letakkan sebahagian dari bagasiku. Selesai menukar waren kpd tiket, kamu duduk menanti hingga keretapi tiba. Ini adalah perjalanan kedua paling panjang selepas ke Ipoh kelmarin. Keretapi lewat tiba. Setibanya aku di stesen Seremban, hari sudah suntuk. Sudah ada trak tentera berserta koordinator dari Sekolah Pegawai Kedet (SPK) yg menunggu disana. Apabila tiba di SPK, waktu sudah lewat tengah malam. Kami diagih-agihkan ke bilik sementara utk berehat pada malam itu. Dan, untuk pertama kali buat sekian lama, itulah antara hari yg paling panjang dan selekeh - kerana aku tidur tanpa mandi, dgn perut kebuluran, minum tak tentu, buang air tanpa sempurna istinjak dan tanpa rutin harian yg normal di kampong - persis seperti pengemis yg bergelandangan...! Tapi akhirnya dapat aku 'membayar qadha-hajat' dengan memuaskan bila seorang kedet senior bangkit dari tidur dan memberitahuku lokasi bilik air 'yg ada airnya'....!?

Keesokan harinya hiruk-pikuk sudahpun bermula seawal subuh sadiq. Bilik mandi 'yang ada air' dan jamban 'yang berair' menjadi rebutan ramai. Ini satu fenomena baru! Bagaimana begitu banyak jamban dan bilik air yg ketiadaan air? Kalau sekadar tidak mandi pagi, itu cerita biasa. Tapi bagaimana nak sempurnakan qadha-hajat dengan sempurna kalau tiada air? Jika sekadar 'air kecil', boleh tahan lagi. Tapi kalau 'air besar' dan 'tercirit', ini satu kes berat. Tissue paper pun tiada. Hatta, tiada pilihan melainkan meringkaskan serba-serbi dan percepatkan aktiviti. Anda kini berada di SPK. Anda mahu masuk askar? Nah, inilah dia 'salam pengenalan' untuk anda!

Setelah berpakaian kemas, bertali leher dan berdokumen lengkap, kami terus dibariskan dalam satu kontigen panjang menuju ke 'Dewan Makan SPK'. Disitu telah terentang meja-meja panjang berserta bungkusan-bungkusan dokumen yang bakal diedarkan kepada kami. Sebelum itu kami diberi waktu untuk bersarapan pagi. Tamat waktu sarapan, kami terus melengkapkan borang-borang yang diedarkan oleh TKC. Antara yang terpenting ialah dokumen akujanji dan sumpah perkhidmatan.

Selesai cop SEPULUH JARI dimaktubkan, semua salinan dokumen peribadi termasuk kad pengenalan awam diserahkan kepada pihak TKC. Setelah semua proses disempurnakan, kesemua 'bakal pegawai kedet' dihimpunkan dalam satu dewan yang panjang bersama-sama dengan staf jurulatih untuk upacara pembacaan ikrar dan angkat sumpah - di Kem Sebatang Karah. Alhamdulillah. Sebelum gelincir matahari, segala aktiviti utama pada hari itu telah disempurnakan dengan lancarnya...

Hatta, pada tanggal 02 Feb 1981, sempurnalah aku menjadi seorang PEGAWAI KEDET TENTERA DARAT di SPK, Kem Sebatang Karah. Hari ini aku - seorang anak kampong - telah bersedia untuk dilanyak sehingga lumat bagai cacing tanah.....!

...AKHIRNYA AKU MASUK ASKAR....!!!