Tuesday, January 8, 2013

MAGGI RENDAM TEH "O" PANAS

MEE MAGGI rendam dalam teh "O" panas.... Sebenarnya ia bukanlah mee MAGGI. Tapi, dari spesis "mee segera" yg baru nak popular diketika itu. 

Kisah ini terjadi diawal tahun 1980an sewaktu aku baru berkhidmat dlm Tentera Darat. Maka terjadilah peristiwa dimana aku menghadiri kursus intensif yg berpanjangan. Ada yang tiga bulan. Ada juga yg memakan waktu hingga enam bulan khususnya kursus taktik Ketua Platun di Kota Belud, Sabah. Seringkalinya aku akan membekalkan beberapa bungkus "mee segera" sebagai santapan dikala kebuluran atau ketiadaan catuan makanan. Bukan saja aku, malah hampir kebanyakan rakan-rakan kursus akan membawa "bekalan makanan tambahan" masing-masing serta menyimpan stok sebagai langkah kontigensi....

Memandangkan latihan tentera (di zaman itu...) adalah bersifat "brutal" dan amat menuntut kekuatan mental-fizikal ke tahap paling maksimum, mee segera (serta bekalan makanan tambahan...) mungkin dapat membantu memantapkan kudrat dan iradat kami. Kalau mengharapkan perih-jerih tulang empat-kerat semata-mata, alamat kecundang ditengah jalan. Lebihkurang begitulah, gamaknya....

Tetapi idea "merendam mee segera dalam air teh" mungkin suatu kebetulan. Di suatu ketika, kami melaksanakan eksesais fasa pertahanan di kawasan bukit-bukau yg gondol dan ketiadaan sumber air. Bekalan air hanya diperolehi dari sumber "supply line" yg dihantar oleh elemen "Q" dari lokasi logistik yg terletak jauh dari "batas hadapan daerah tempur". Itupun hanya sekali dalam sehari. Bayangkan berapa kali kami harus beristinjak dgn menggunakan apa saja yg ada disekitar bukit tempat kami berlatih. Kalau mengharapkan bekalan air, alamat ada yg mati kering kerana sindrum dehidrasi (dehydration).

Biasanya air teh akan sampai pada waktu petang berselang-seli dgn air kopi "O". Dan, lazimnya ia masih cukup panas utk kita "merendam" maggi. Soalnya, mengapa perlu merendam mee segera kalau bekalan makanan tempur ada disediakan? Jawabannya mudah: ia tidak mencukupi, dan, cara ia dimasak menyebabkan tekak anda terkadang secara otomatik merasa loya bila terhidu aroma makanan itu... Tidak cukup garam, lada dan, mana pergi rempah-ratusnya...? Sehari-dua mungkin anda mampu menelannya. Selepas itu, anda terpaksa mengeluarkan "perasa atau makanan tambahan" yg anda sorok utk memastikan catuan tempur dapat anda baham, kunyah dan telan dgn sewajarnya.....

Dan, "maggi" adalah opsyen termudah. Tak perlu potong bawang, halia atau ikan bilis. Terkadang kami membawa bahan perasa yg ada dijual di pasaran. Terpulang pada individu. Kalau "rajin" membuat persediaan, tidaklah menjadi terlalu kebuluran sewaktu berada di medan tempur. Aku sendiri memiliki sebuah botol air aluminium yg boleh memuatkan lebihkurang 3 liter air. Itu aku beli sendiri, bukan hak tentera. Mencukupi utk kegunaan 24 jam dlm situasi dharurat....

Hari ini maggi (dan segala bentuk mee segera...) dikatakan bahaya utk kesihatan kerana mengandungi bahan-bahan pengawet dan perasa yg boleh memberi kesan sampingan atau impak jangkapanjang pada kesihatan. Ada juga yg mendakwa bahawa mee segera mengandungi bahan-bahan yg tidak halal. Wallahualam. Terpulanglah kpd pakar-pakar permakanan, saintis-saintis bioteknologi serta para ustaz dan ulama utk menetapkan fatwa... Mereka telah digajikan utk melaksana tanggungjawab masing-masing. Terpulanglah, samaada mahu makan gaji buta atau gaji halal...

Walaupun kisah ini sudah lama berlalu, namun sering aku jadikan modal bercerita dikalangan rakan-rakan. Ada yg terbahak-bahak. Ada yg menganggap aku sekadar jual temberang. Namun, yg penting, sesuatu pengalaman itu tetap berharga dan perlu dihargai sekiranya ia "baik" dan "positif". Tetapi seandainya pengalaman itu "negatif", kita harus mengambil iktibar. Tetapi kalau dharurat muncul, pengalaman (samaada positif atau negatif...) akan menjadi "guru khas" yg bakal merangsang minda kita utk menyelesaikan sesuatu permasaalahan.

Pengalaman lalu akan mematangkan diri kita dalam meredah ranjau kehidupan yg selanjutnya... Ws.

No comments:

Post a Comment