Wednesday, May 12, 2010

Kampong Melayu

Kampong ini amat signifikan pada kewujudanku. Mana taknya, aku dilahirkan disini. Kata orang, tanah tumpah darah. Itu terlalu simbolik. Aku belum menumpahkan darahku atau darah sesiapa di sini. Tapi Ibu, ayah, tok, nenek, moyang, atok moyang & kerabat terawal semuanya dikebumikan disini.

Aku juga mahu dikebumikan di tanah ini, kalau boleh - disebelah ibuku. Apa salahnya. Itu tandanya aku amat menyayanginya melampaui manusia-manusia hidup yang pernahku kenal. Lagipun, selama hidupku tak pernah benar-benar dapat mencurahkan rasa cintaku padanya. Mungkin dengan dikebumikan disebelahnya aku berpeluang untuk berjumpa selalu di alam barzaq nanti.

Kampong ini dinamakan Kampong Melayu. Benarlah. Inilah satu-satunya kampong asal tempat ini sebelum wujud kelompok kampong dipinggir sungai di hilir dan sebuah kampong setinggan di bahagian barat kampong ini. Selebihnya terdiri dari penempatan-penempatan estet di Ladang Hock Lee, Tong Lee, Sungei Bekok, Lenek, Eldred, Pekan Bekok dan Kempas. Agak berjauhan sedikit ialah Ladang Chan Weng. Hampir kesemua ladang-ladang kelapa sawit ini dimiliki oleh Sime Darby, Gutrie, IOI dan lain-lain korporat.

Terdapat juga penempatan orang asli di Sungai Selai dalam bentuk FELDA (walaupun bukan FELDA). Setakat ini aku sudah dua kali ke sana. Sekadar melihat-lihat apakah taraf hidup mereka sudah banyak berubah berbanding kaum mereka di Cameron Highlands, Lenggong atau di Gua Musang. Rumah mereka diperbuat dari simen dan konkrit. Molek tapi agak kecil. Ada yang sudah memasang gril, petanda penempatan mereka juga sudah tidak selamat dari penyamun atau penyangak. Jalan hitam yang menjadi nadi komunikasi untuk mereka ke Lenek atau ke pekan hampir jahanam dikerjakan oleh lori-lori balak.

Jadi, bolehlah disimpulkan bahawa kampong asalku tidaklah berapa hulu sangat. Tapi aku berbangga untuk mengakui bahawa aku memang berasal dari hulu. Aku tak kisah pun. Siapa nak kutuk, kutuklah. Lagi banyak engkau kutuk, lagi banyak aku dapat pahala amalan kau. Jadi, siapa beruntung?

Tapi yang menggusarkan aku sekarang ialah, kampongku ini sudah tidak berpenghuni. Kalaulah adik perempuanku yang bernama Niza (dan suaminya, Izam) membuat keputusan untuk berpindah ke Labis, maka tamatlah riwayat kampong ini. Yang tinggal cuma rumah arwah orangtua kami serta tanah kuburan. Jadi, aku selalu memikirkan apa harus dibuat jika tanah sekeping yang amat bersejarah (untuk kami adik-beradik) ini terbiar tanpa penghuni. Sudah tentu ia akan diancam oleh sesuatu.

Suatu ketika, kampong ini memang cukup luas untuk dipanggil kampong. Tetapi kerakusan manusia terdahulu telah merosakkan segalanya. Banyak yang menjualnya kepada pendatang-pendatang Cina. Akhirnya apa yang tinggal ialah tanah milikan arwah ayah yang tidak sampai satu ekar luasnya. Lokasi yang pada asalnya menjadi bumi penting suku-sakatku kini tidak berapa dikenali orang kecuali adik-beradik dan saudara-mara terdekat.

Namun inilah kampong asal yang sering melintas dalam mimpi-mimpiku. Walaupun jauh merantau dan melihat bumi orang, namun bumi tanah yang sekeping ini lebih berharga dari yang lain. Bak kata perpatah, hujan emas di bumi orang, hujan api di bumi sendiri, lebih enak lagi berada di bumi sendiri. Tapi selama merantau, tidak pernah pun sekali berlaku hujan emas di bumi orang. Sebaliknya banyak berlaku banjir kilat, kesesakan lalulintas, kemalangan maut, pembunuhan, putar-belit dan samun-menyamun di tempat orang. Ini bermakna, bumi asalku terlalu istimewa untuk dipinggirkan begitu sahaja.

Mungkin kampongku itu mundur. Tapi itu tidak penting. Apa erti pembangunan kalau sekadar mencipta kerosakan pada alam-sekitar? Apa erti kemajuan jika sekadar untuk memboncetkan perut yang memang dah tersedia boncet? Apa erti permodenan kalau hanya untuk menambahkan jumlah mat rempit dan penyangak jalanan? Jadi, biarlah tempat asalku ini mundur seperti itu. Setidak-tidaknya dapatlah juga aku makan buah manggis, bachang, durian, pisang dan apa-apa yang tumbuh disekeliling rumah arwah orangtuaku itu. Sekali-sekali dapat juga aku mengutip barang 7-8 tangkai bunga kantan buat bekalan balik ke Ipoh. Kalau nak mandi sungai, pergilah ke baruh. Kalau nak mandi di jeram, pergilah ke Hutan Lipur Sungai Bantang. Jadi, apa nak dirisaukan tentang pembangunan?

No comments:

Post a Comment