Monday, May 31, 2010

BUKAN SEBARANG KELENTONG...

Bukan lotong sebarang lotong. Lotong diimport dari Jelutong. Bukan kelentong sebarang kelentong. Silap kelentong lebam batang hidung...

Tak percaya? Tanyalah pada itu Pendekar Mustar. Atau bomoh handalan Mona Fendi. Malang, kedua-duanya sudah lama meninggal dunia. Pun begitu, sebagaimana dunia persilatan Nusantara. Kelentong juga ada gelanggang pertarungannya yang tersendiri. Tidak perlu santau-menyantau, saka-menyaka, keris taming sari, buluh runcing, semambu kuning. Yang perlu ialah ketajaman lidah. Kepetahan mulut. Kemantapan dalam berhujah. Berlandaskan ilmu yang mendalam. Dan, tidak memiliki sindrom melatah macam nenek kebayan di puncak Gunung Ledang.

Bukan senang mahu senang. Tidak susah kalau nak susah. Paling senang nak cari susah. Nak senang cukup susah. Kalaulah nak senang itu senang, dah tentu semua makhluk dalam dunia kaya-raya. Tapi telah ditakdirkan dunia bukan begitu. Dunia penuh warna-warni. Ada yang kaya, ada yang miskin, ada yang merempat. Ada yang kaya tapi susah. Ada yang miskin tapi bahagia. Ada yang merempat tapi memang merempat habis! Jadi, hidup ini cukup subjektif. Sebab itu orang elok cepat-cepat mati. Agar tidak terlalu menderita. Atau tidak bikin orang lain hidup menderita macam si yahudi zionis serta anjing-anjing pecacainya.

Cukup hairan. Mengapa setengah orang terlalu sadis? Bahagia atas penderitaan orang lain. Derita bila melihat orang lain gembira. Bukankah lebih baik mati? Bukankah lebih bagus dibaham harimau atau buaya tembaga? Mati lagi mulia kalau hidup sekadar menyiksakan orang lain! Masuk akal, bukan?

Tapi hidup bukan suatu yang ideal sebagai mimpi di pagi hari. Hidup umpama roda yang terus berputar hingga ia meletup atau dikitar semula. Kalaulah hidup bagai rama-rama atau burung-burungan, alangkah indahnya! Tak perlu fikir nak pakai apa untuk pergi ofis. Nak naik "kapcai" atau "proton saga"? Nak sembor minyak wangi jenis apa? Nak pakai bedak berapa banyak dan gincu warna apa?

Tak perlu fikir semua itu. Semua sudah sedia. Sayap, bulu, paroh, bau, warna. Semua sudah sedia. Ahh, memang hebat kalau jadi burung! Tak sakitkan hati orang lain. Tapi jangan jadi burung gagak, merak atau pipit yang disumpah orang. Jadilah burung tiung, murai, helang, cawi dan lain-lain. Kalau kuat berjaga malam, jadilah burung hantu. Kalau suka berembun, jadilah sang pungguk. Alangkah hebatnya? Tapi jangan jadi ayam hutan. Nanti ditembak orang!

No comments:

Post a Comment