Thursday, April 14, 2011

TERCAMPAK DARI PREBET SAPU

INI KISAH BENAR. BUKAN SAJA NAK KELENTONG! UNTUK PANDUAN DAN SEMPADAN KEPADA MEREKA YANG BERMINAT UNTUK HIDUP LEBIH LAMA. TERUTAMANYA GOLONGAN BAWAH UMUR.

Kisah ini terjadi pada hari pertama persekolahan sewaktu aku di darjah 5. Hari itu keadaannya agak kelam-kabut sedikit. Maklumlah, aku baru sahaja berpindah dari rumah sewa di Jalan Hassan, Segamat ke rumah nenek di Kampong Tasek-Alai. Dahulu tinggal dengan Atok Cik. Sekarang tinggal dengan Atok Arah dan suaminya Atok Ahee. Jadi, perlukan penyesuaian. Dulu mandi air paip. Kini mandi air perigi. Tahun lepas naik van sekolah. Hari ini naik kereta sapu yang dijadikan kereta sewaan untuk ke sekolah. Maklumlah, di zaman itu Kampong Tasek ketiadaan bas. Tapi jangan terkejut. Malah sehingga kini pun kampong itu masih juga ketiadaan pengangkutan awam.

Dipendekkan cerita, jam sudah pukul 11 pagi. Itu waktu dharurat, yakni memang waktu untuk aku meninggalkan rumah dan menuju ke tempat menunggu kereta. Jam 11.15 sebentar nanti kereta sewa akan sampai untuk mengambilku. Memandangkan ini hari pertama persekolahan, maka segalanya perlu pantas, licin, sempurna, cantik dan serba baru. Baju baru. Seluar baru. Stokin baru. Kasut pun baru. Jadi, semangat pun baru! Tetapi "mood" boleh berubah dengan sekelip mata. "Semangat" boleh terbenam tanpa terduga. Itulah yang terjadi pada hari ini.

Aku kepanikan bila terlihat sebuah "kereta sapu" yang agak separuh umur tiba-tiba singgah untuk mengambilku. Desingan injinnya bagaikan laungan sekawan beruk liar yang akan dilapah hidup-hidup. "Cukup syarat" untuk menggoncang semangatku yang pada asalnya kental, cukup berkobar-kobar. Kini semangat itu bertukar kepada "berkubur-kubur"..(?) Lihatlah wahai dunia, kereta "prebet sapu" darjat ke berapa yang disajikan untuk aku ke sekolah pada pagi ini?

Tapi aku perlu terima hakikat. Hari ini aku terpaksa menaiki kereta prebet sapu yang sudahpun sendat bagai tin sardin. Biasanya aku menaiki bas mini atau van untuk ke sekolah. Pernah juga menaiki prebet sapu milik seorang India (sewaktu di darjah 1). Tapi tidaklah sepadat ini. Ini belum lagi menyentuh soal bau hangit, hancing dan seribu-satu macam bau yang terpaksa ditanggung oleh batang hidungku sepanjang perjalanan kereta ke sekolah. Sementelah, apabila tiba ke pintu bilik darjahku nanti, aku pun akan berbau seperti itu jugak..(gara-gara kebacinan dan kehancingan orang lain..!). Ini yang aku tidak boleh terima!

Akhirnya aku dapat juga masuk ke dalam kereta sendat itu selepas berhimpit-himpit dan berhempas-pulas. Aku duduk ditepi sekali, iaitu di pintu sebelah kanan (bahagian penumpang). Memang menyiksakan. Dengan saiz badan yang agak kecil, aku menjadi mangsa himpitan penumpang-penumpang yang bersaiz besar. Cukup sesak, panas berbahang. Ditambah dengan aroma yang entah bermacam-macam jenis dan "campuran". Aku pun tak ingat.

Dari Kampong Tasek, kenderaan ini akan melalui jalan Jementah-Segamat melalui Kampong Batu Badak dan Kampong Lubuk Batu, Segamat. Selepas itu kenderaan akan melalui lorong kecil antara Stesen Keretapi Segamat dan Pejabat Polis Segamat menembusi ke Stesen Bas Awam Segamat dan teruslah ke arah Buloh Kasap. Kereta itu nanti akan membelok ke kiri apabila sampai ke simpang Kampong Tahang Rimau. Sekolah Rendah Inggeris Segamat (dimana aku bersekolah) terletak ke hadapan sedikit dari kampong tersebut dan bersebelahan dengan Sekolah Menengah Sig Hua, Segamat.

Waktu itu aku terlalu naif. Kalau hari ini mungkin aku akan kata ini kerja gila. Apa akan jadi kalau berlaku tabrakan? Berapa ramai yang akan "mampooos"? Pakkal aku masih kecil. Jadi, bertahan sahajalah. Apa saja tindihan dan himpitan, aku tanggunglah.. Apa sahaja angin yang dilepaskan, sedut sajalah.. Apa lagi yang boleh aku buat? Kalau diturutkan hati, mahu saja aku memekik bagai Sang Kelembai...! Memang aku geram habis..!

Perjalanan ke Sekolah bukanlah jauh sangat. Cuma lebih-kurang 15 batu sahaja. Memang tidak jauh (kalau diukur pada keupayaanku sekarang..). Tapi kalau dilihat pada ketimpangan sistem jalanraya serta pengangkutan awam pada waktu itu, jarak 1 batu akan menjadi sejauh 100 batu! Jadi, cuba bayangkan betapa jauhnya 15 batu itu bagi golongan yang tinggal di pedalaman yang ketiadaan sebarang kenderaan kecuali sepasang kaki?

Hari itu aku sudahpun bersiap lebih awal dan sudahpun menunggu kereta sapu sewaan itu pada jam 11 pagi lagi. Mujurlah aku di sesi petang. Kalau sesi pagi, mungkin aku dah tercegat di tepi jalan sejak seawal jam 5 pagi (?). Barangkali mungkin ditemani oleh si langsuir jalanan atau hantu jembalang yang bertebaran sebelum hari menjelang siang. Barangkali kot..? Maklumlah, hidup di pedalaman. "Tempat jin bertendang," kata orang..!

Dipendekkan cerita. Aku sudah berada dalam kereta berkenaan. Dan, kereta pun sedang bergerak laju menghala ke bandar Segamat melalui Jalan Muar. Selepas melimpasi hadapan Hospital Besar Segamat (sekarang Poliklinik Segamat), kereta akan mengambil selekoh membelok ke kiri melalui jalan belakang Balai Polis Segamat menjurus ke stesen bas awam Segamat. Selekoh tersebut tidaklah berapa tajam tetapi agak memanjang dimana kereta boleh dipandu agak laju sedikit.

Sewaktu di selekoh tersebutlah aku terhumban keluar dari kereta itu. Kejadian itu berlaku terlalu cepat. Aku tidak berapa pasti bagaimana pintu kereta boleh terbuka yang menyebabkan aku terhumban keluar. Untuk beberapa saat selanjutnya, aku kurang pasti apa telah terjadi. Yang pasti, aku tercampak, terguling-guling dan selepas itu terhenti dalam keadaan tertiarap. Dituruti oleh rasa pening dan sakit yang amat sangat dibeberapa bahagian badan. Beberapa saat selepas itu aku dapati aku sudahpun berlari menuju ke arah kereta yang sendat tadi!

Umurku memang panjang. Kalaulah ada kereta yang menuruti dibelakang atau datang dari arah bertentangan, mungkin aku sudahpun pulang ke rahmatullah pada hari itu jugak! Dan, jika ada orang bertanya, aku tidak mampu menjawab apa dan bagaimana (?) aku boleh tercampak keluar dari kereta sewa tadi. Samaada pintu kereta itu terbuka sendiri (kerana selaknya rosak atau kuncinya sudah haus dan longgar)? Atau, tangan aku ini yang gatal-gatal bermain dengan tangkai pembuka pintu? Wallahualam. Yang pasti, itulah padahnya kalau kereta terlalu sendat. Bukan sekadar boleh terhumban keluar, mungkin boleh mati lemas dek kerana tak cukup udara!

Apabila tiba di sekolah, aku terus masuk dan duduk disalah-satu kerusi kelas yang telah ditetapkan. Aku sempat mengikat luka di salahsatu siku dengan saputangan. Aku tidak mengambil masa yang panjang untuk terlelap di meja. Mungkin kesan dari insiden tadi. Walaupun luka di lutut, siku dan tangan amat pedih, namun aku tetap merasa ngantuk (!) Agaknya mungkin lebih dari setengah jam aku terlelap disitu. Yang menghairankan, aku tidak terganggu dek sesiapa. Dan, guru tidak pula memarahi (seperti kebiasaannya). Ini suatu perkara pelik (barangkali).

Bila aku tersedar, pedih pada luka-luka tadi sudah reda sedikit. Namun sakit-sakit dan sengal di bahagian-bahagian lain masih terasa. Seingat aku, sepanjang hari itu aku cuma duduk diam-diam di kerusi dan tidak banyak bergerak kerana kesakitan. Terutama disekitar lutut dan siku. Sekali-sekala aku meniup lecetan luka (kononnya) untuk meredakan rasa sakit. Aku sapukan sedikit air liur (petua orang tua-tua dahulukala) pada permukaan luka-luka yang berwarna merah pucat itu.

Lewat petang sebelum senja, aku pulang ke rumah disambut oleh Atok Ahee dengan soalan-soalan "cepu emas"... Aku tidak ingat entah apa yang kujawab. Mujurlah Atok tidak berleter panjang. Kebetulan pula ibu ada bersama pada ketika itu. Jadi, aku mendapat "back-up" yang sempurna dari ibu (dalam hal ini). Dan, aku juga mendapat "bantuan khas" dari Paksu Wahid sewaktu mandi di perigi. Beliau tolong menimba air untukku. Malam itu ibu tolong merawat luka-lukaku tadi sambil memberi "kata-kata hikmah". Demikianlah. Pada usia 11 tahun, aku sudah dilayan bagai orang-orang dewasa. Dalam banyak hal, aku perlu berdikari dalam mengurus diri dan peralatan sendiri. Demikian juga dengan luka-luka yang sedang aku alami ini. Aku perlu rawat sendiri...(!) Tapi aku "cukup bahagia" dengan keadaan ini. Kerana ia telah membentukku untuk menjadi "manusia berdikari" sejak remaja lagi.

Dipendekkan cerita. Sejak peristiwa itu, aku sentiasa berhati-hati jika menaiki kereta (sebagai penumpang). Aku tidak akan cuba mengusik tangkai pembuka pintu kereta, kecuali bila kereta sudah berhenti. Dan aku juga cuba duduk ditengah-tengah (kalau ada peluang), walaupun duduk ditepi lebih menyeronokkan. Dalam pada itu, sekali-sekala aku terfikir kembali tragedi itu dan bagaimana "teruknya" aku dipersalahkan (oleh Atok Ahee dan Pak Jiman, drebar kereta berkenaan). Sebagai pelajar darjah 5, aku bukan lagi budak kecil! Jadi, mengapa orang harus mempertikaikan keupayaan aku dan menuduh aku bermain pembuka pintu kereta?

Al-kisah, demikianlah sepintas lalu "kenangan manis" hari pertamaku sewaktu di darjah 5. Kenangan yang sukar dilupakan. Tapi tak pernah tertarik untuk aku ceritakan pada orang lain. Lantaran ia kurang menarik (?) untuk didengar. Pun begitu, ia sesuatu yang benar-benar aku alami. Ws.








No comments:

Post a Comment