Thursday, April 14, 2011

INDAHNYA MUSIM BANJIR

SUATU KETIKA DAHULU aku menganggap musim banjir tidak ubah seperti acara tahunan yang didatangkan khas sekali dalam setahun. Dan bila banjir tiba, ia diibaratkan seperti waktu untuk berpesta. Masing-masing datang ke lokasi-lokasi banjir untuk bermain air. Maklumlah, bagi kami sekampong, pantai adalah terlalu jauh dari jangkauan. Jadi, banjir adalah opsyen untuk orang-orang kampong yang duduk di hulu seperti aku. Ombak dan laut merupakan suatu igauan. Dan, terpaksa berbelanja besar untuk ke sana. Demikianlah kisah "orang darat" dan "orang baruh" atau "orang laut". 

ITU ADALAH PEMIKIRANKU sewaktu kecik. Kisah orang hanyut, mati lemas atau rumah tenggelam tidak berapa kedengaran pada ketika itu. Maklumlah, media massa dizaman itu adalah terlalu mundur. Di rumah, kadangkala ada radio. Kadangkala tidak. Kadang-kadang langsung tak dapat siaran. Menonton TV jauh sekali. Sebab, hanya "orang kaya" sahaja yang mampu membeli TV. Suratkabar? Jarang membacanya lantaran jarang dibeli ayah. Jadi, kalau ada kampong atau bandar yang tenggelam, itu kami tidak tahu. Kecuali kalau banjir berlaku didepan mata. Dan, itu boleh dikatakan agak kerap terjadi.

Bercakap soal banjir, banjir di bandar dan di kampong memiliki dimensi yang agak berbeza. Itu menurut apa yang aku lihat pada ketika itu. Sepanjang bersekolah rendah di Segamat, memang ada beberapa kejadian besar yang aku lihat dengan matakepala sendiri. Sewaktu di darjah 2, hujan lebat di hulu telah menyebabkan petempatan Jalan Hassan dan kawasan tapak hospital besar Segamat (yang asal) ditenggelami air. Jambatan keretapi yang merentangi Sungai Segamat juga hampir tenggelam. Banjir besar itu menjadi bahan bualan kami di sekolah. Aku tak sempat bermain banjir kerana airnya terlalu kotor. Terdapat kandang ternakan babi di hulu sungai itu (ini memang dalam pengetahuan aku sebab aku agak rajin meranduk ke hulu sungai untuk memancing ikan). Walaupun masih kecil, tapi aku sudah kenal erti najis mughalazah.

Sewaktu di darjah 5, sekali lagi banjir besar melanda. Kali ini aku tinggal di Kampong Tasek. Masih tergambar jelas bila suatu pagi Paksu Wahid mengajak aku melihat banjir. Keseluruhan kawasan sawah di kampong itu seperti bertukar menjadi lautan dengan air yang berwarna lumpur. Untuk beberapa hari aku tidak ke sekolah kerana jalan kampong ditutup. Sebagai opsyen, kami pergi bermain air. Sempat juga berenang ke Batu 5, tempat Makngah Salmah tinggal. Memang ganjil kehidupan waktu itu. Air banjir jadi tempat berlibur dan berlipur?

Memandangkan banjir masih "tinggi", Atuk Ahee tidak menoreh getah. Tapi, usaha untuk mencari duit perlu berjalan terus. Jika tidak, pasti ada yang kebuluran. Jadi, beliau (ditemani Pakcik Haris) telah manjalankan aktiviti memasang lukah di kawasan sawah yang masih tenggelam. Terkadang mereka terpaksa berkayuh (perahu) ke hulu hingga melepasi Tanjung Sengkawang dan Kampong Gudang Garam. Memang amat jauh! Tetapi, adat hidup di kampong dan menjalankan "kerja kampong", Atuk tiada banyak pilihan. Keluar pagi, nanti sebelum zohor baru balik. Mereka melukah ikan "keli limbat".





Menurut Atuk, keli jenis ini berkualiti tinggi. Ia jenis liar dan jarang ditemui. Cuma hidup di hulu sungai. Warnanya hitam kekuningan dan agak berbintik. Rupanya memang agak signifikan dan berbeza dari keli biasa (aku tidak pasti samaada spesis ini masih wujud lagi atau sudah pupus sekarang). Sebelum asar, apek Cina si peraih ikan akan muncul untuk memborong ikan-ikan tersebut. Biasanya Atuk akan "menolak" (disini maksudnya memborong) dengan harga yang sesuai. Beliau jarang memborong sesuatu (samaada ikan, ayam atau durian) dengan harga yang "mencekik darah".

Sementara di Batu 5, Sungai Batang Lesung yang berdekatan dengan rumah Makngah Salmah menjanjikan kelainan. Bila air surut, dasar sungai itu (yang berlumpur) akan menjadi sarang bagi siput gondang (spesis siput besar), lokan dan kijing (berbentuk seperti kupang). Keadaan seperti itu tidak kekal lama. Jadi pada cuti minggu kami akan meranduk ke sungai itu untuk menambah rezeki yang secupak. Dapatlah juga dijadikan santapan untuk 2-3 hari. Hidup di kampong tidak perlu ke pasar kalau rajin berusaha! Di hutan ada pucuk, di air ada ikan, di pokok ada buah. Dan, di tanah ada ubi, keledek dan keladi.

Ketika di darjah 6, sekali lagi banjir besar melanda. Kali ini aku tinggal di Kampong Batu Badak. Air Sungai Segamat melimpahi sepanjang jalanraya yang merentasi kampong itu hinggakan gambarannya seakan-akan apa yang aku lihat di Kampong Tasek pada tahun terdahulu. Oleh kerana airnya dalam (dan arusnya juga agak laju), Atuk Teh tak benarkan aku merayau di kawasan banjir. Atuk Teh memang "ketat" dalam soal keselamatan. Memandangkan aku tak gemar dileteri, jadi aku patuhi kehendaknya. Bila air mulai surut, barulah aku mencuri-curi pergi memancing.

Air banjir kali ini dikabarkan telah melimpahi lebihi dari biasa. Selain jalanraya terpaksa ditutup di pelbagai lokasi, perhubungan ke Buloh Kasap dan utara juga terputus. Demikian juga perhubungan ke selatan tanahair. Jalan keretapi juga terjejas. Apabila air surut dan keadaan pulih seperti sediakala barulah aku tahu bahawa jalan-jalan ke kawasan Lubuk Batu, Tanjung Sengkawang, Kampong Berata dan Kampong Gudang Garam juga terjejas teruk. Kesan-kesan lumpur banjir masih boleh dilihat di sepanjang kiri-kanan jalanraya menuju ke Segamat terutamanya di kawasan-kawasan yang agak rendah. Namun begitu, yang pasti, tidak pula aku terdengar kisah orang mati akibat banjir!

Tetapi hari ini keadaan jauh berbeza berbanding dahulu. Hutan belukar sudah banyak yang bertukar menjadi kawasan perumahan, perkilangan dan macam-macam lagi. Urbanisasi telah mengubah ekosistem dan lanskap kawasan-kawasan ini yang menjanjikan banjir kilat dan banjir-banjir besar yang mengerikan. Aku tak dapat bayangkan bila abangku Razak menceritakan kemusnahan-kemusnahan yang berlaku akibat banjir di sepanjang dekad pertama milenium ini. Jambatan Sungai Segamat tenggelam sepenuhnya. Jalan keretapi terjejas habis dan perlu dibaiki. Bangunan-bangunan dan petempatan-petempatan di sepanjang Sungai Segamat tenggelam. Kampong Jawa, sebahagian FELDA Kemelah, Kampong Jalan Pemuda dan banyak lagi petempatan-petempatan lain turut ditenggelamkan. Banyak harta awam musnah. Nyawa pun ada yang melayang.

Ini tidak berlaku sewaktu aku masih bersekolah dulu. Senario banjir hari ini (samaada banjir kilat atau banjir besar) lazimnya berpotensi untuk berakhir dengan cerita trajis dan traumatik. Sebagai contoh mudah, banjir kilat di bandar Kelang masih termaktub jelas dalam kenangan. Kereta aku hampir dibenamkan oleh air hujan yang melimpah akibat longkang tersumbat (agaknya). Mujurlah aku cepat bertindak. Dan, selepas itu akupun berkata: Lain kali jangan "gatal-gatal" datang ke bandar Kelang! Tapi, apa kurangnya Kuala Lumpur? Atau Penang? Atau Johor Bharu? Atau Ipoh? Banjir hari ini sudah tidak mengenal waktu mahupun tempat!

Jadi, bagaimana boleh dikatakan musim banjir merupakan musim yang indah? Aku pernah beberapa kali berkesempatan berada di kampong sendiri sewaktu banjir melanda. Waktu itu kami (masyarakat setempat) tidak menggunakan istilah "banjir". Sebaliknya kami gunakan istilah "air naik" (maksudnya air sungai dekat rumah kami sudah melebihi paras selamat dan melimpah sampai ke tebing dan melanda kawasan-kawasan lain) atau "air bah". "Banjir" adalah istilah baru. Malahan bidalan dahulukala juga menggunakan perkataan "bah", bukan "banjir": Sekali air bah, sekali pantai berubah.. Pun begitu, maknanya tetap sama. Mungkin istilah "bah" sudah ketinggalan zaman berbanding "banjir" (agaknya).

Berbalik kepada pengalaman menghadapi "bah" di kampong sendiri. Ianya suatu suasana yang cukup berbeza. Mana tidaknya, isu utama kami (pada ketika itu) ialah isu buaya yang mudik ke hulu sewaktu musim banjir. Ini perkara sensitif. Tiada siapa pun yang sudi ditelan buaya. Tetapi, kisah ini akan menjadi "top" bila banjir tiba. Pun begitu, "berita ngeri" ini belum cukup untuk menghindarkan kami dari menjadi "buaya tanpa kaki dua tanpa ekor" dalam air banjir berkenaan.

Mungkin seronok untuk dikongsikan berhubung musim banjir sewaktu di kampong dahulu. Rumah ayah akan menjadi "stor khas" penyimpanan stok makanan catuan bagi mangsa banjir di kampong kami. Yang masih aku ingati: catuan berbentuk susu tin, gula (dalam karung), tepong, beras. Biasanya pihak kerajaan akan menghantar lori catuan ke rumah kami dan ayah akan mengagih-agihkan catuan tersebut kepada mangsa-mangsa terbabit. Lazimnya ada banyak lebihan (setelah agihan dilaksanakan). Itulah yang paling menyeronokkan! Untuk seminggu-dua, kami tidak perlu untuk memikirkan tentang bahan-bahan asas tersebut...!

Hari ini kabaran mengenai banjir menjanjikan kengerian dan kepiluan. Dan, tidak mengikut musim. Paling tidak, tentu ada "wakil" (yang terdiri dari lembu, kambing dan ayam) yang bakal dihanyutkan air. Bagi sesetengah kawasan perumahan (yang dibina di kawasan-kawasan rendah, bekas-bekas bendang padi, berdekatan sungai atau paya), banjir adalah fenomena yang ditanggung sepanjang hayat. Lantaran itu, berhati-hatilah jika membeli/membina rumah. Jangan sampai kita menyesal seumur hidup. 

Hari ini musim banjir tidak lagi seindah waktu kecilku dulu. Segala-galanya terlalu jauh berbeza. Tiada sebarang kecantikan disebalik banjir-banjir kilat, banjir besar atau tempias tsunami yang datang melanda. Semuanya itu menjanjikan kemusnahan yang tidak tercatatkan. Ayah dan ibu pun sudah lama tiada. Rumah ayah yang asal dahulu (yang menjadi fokus kehidupan kami adik-beradik) pun sudah lama ranap. Yang tinggal hanyalah cebisan kenang-kenangan yang semakin hari semakin pudar dari ingatanku. Ia akan lenyap sepenuhnya jika tidak dicatat dimana-mana. Ws.


No comments:

Post a Comment